mutakhir

Sinar baru pasaran getah

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Peningkatan harga getah beku sejak awal bulan ini melegakan ejen pembeli getah yang berdaftar dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) sekali gus mengelakkan mereka daripada gulung tikar.

Sebelum ini ada dalam kalangan ejen bimbang akan gulung tikar kerana perlu menghentikan operasi berikutan kesukaran mendapat bekalan komoditi itu dalam jumlah mencukupi bagi dijual kepada pengilang.

Keadaan itu berlaku akibat ramai penoreh ‘menggantung’ pisau toreh buat seketika kerana harga getah yang murah dan dianggap tidak berbaloi dengan usaha mereka.

Ejen getah beku di Kampung Ramuan China Kecil, Masjid Tanah, di sini, Rustam Ma’ali, 31, berkata, peningkatan harga getah membolehkan dia mengumpul sehingga dua tan komoditi itu sehari sejak awal bulan ini.

“Semasa harga merudum, saya hanya mendapat satu tan getah sehari kerana ramai yang enggan menoreh berikutan harga komoditi itu hanya RM1.80 sekilogram (kg).

“Bagaimanapun, apabila harga getah naik daripada RM3 kepada RM3.50 dan RM3.80 sebelum mencecah RM4.50 pada 14 Disember lalu, semakin ramai kembali menoreh,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, harga getah beku merudum sejak 2012, selepas ia mencapai rekod tertinggi RM7 satu kg pada November 2010 hingga hujung 2011.

“Pengeluaran getah beku merudum sejak 2012 akibat penurunan harga daripada RM7 satu kg kepada RM4 satu kg hingga menurun kepada tahap paling rendah antara RM1.80 hingga RM2 satu kg pada Julai lalu.

“Apabila harga semakin jatuh, pekebun kecil tidak mahu menoreh dan terpaksa mencari duit dengan melakukan kerja lain,” katanya.

Rustam memulakan perniagaan itu pada 2003 selepas memperoleh lesen membeli getah daripada LGM dan kawasan pembelian turut membabitkan Kampung Ramuan China Besar, Limau Nipis dan Sungai Jerneh.

LGM turut memberikan tanggungjawab kepada Rustam untuk menyediakan rekod penjualan getah oleh pekebun kecil secara bulanan bagi membolehkan insentif dibayar kepada pekebun kecil.

Disiarkan pada: December 28, 2016 @ 7:10am
d