mutakhir

'Terima kasih semua' [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: “Saya anggap ini rezeki yang Allah aturkan selepas sebulan berpisah dengan suami dan terpaksa bekerja dari rumah untuk menyara diri serta enam anak yang masih kecil,” kata Putrie Asmarra Emmie Che Nan.

Menurut ibu tunggal berusia 36 tahun itu, dia tidak menyangka kisah kepayahan hidup menyara keluarga yang tersebar di media sosial sejak 21 Disember lalu mendorong rakyat Malaysia tampil menghulurkan bantuan.

“Sejak bercerai dengan suami pada 23 November lalu, hidup saya memang tidak tentu arah selain berdepan tekanan perasaan memikirkan cara hendak menyara anak kerana tidak pernah bekerja selama 18 tahun berkahwin.

“Selama ini saya menjadi suri rumah sepenuh masa menjaga semua enam anak berusia antara satu hingga 17 tahun. Semua perbelanjaan diuruskan bekas suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Cheras, di sini semalam.

Menurut Putrie Asmarra, dia menghargai tindakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yahg memberi bantuan asnaf RM600 sebulan bagi menampung bayaran sewa rumah RM750 selain keperluan asas seperti beras, tepung dan gula.

“Sebelum kisah saya menjadi tular (viral), ada seorang rakan datang ke rumah memberikan sedikit sumbangan dan memaklumkan dia akan cuba menularkan kisah saya untuk memohon bantuan orang ramai.

“Alhamdulillah, sekarang ini perlahan-lahan saya mula mempromosikan produk kawan-kawan secara dalam talian dan memperoleh sedikit komisyen untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Tambahnya, kesedihan hati juga terubat apabila anak keduanya, Nur Atiqah Azmiera Azmi, 15, yang bersekolah di asrama penuh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Perak, memperoleh keputusan 10A pada keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan baru-baru ini.

Selain itu, katanya, anak sulungnya, Muhammad Haikal Azmi, 17, yang baru tamat sekolah juga membantunya kerana bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya berhampiran.

Disiarkan pada: December 28, 2016 @ 7:13am
d