mutakhir

Banyak sangat kenangan

Oleh Muhamad Izzat Nasuruden

Cameron Highlands: “Saya sedih kerana kereta ini mempunyai banyak kenangan dan dibeli sempena perkahwinan saya pada 2012,” kata Mohd Syahril Haron, 33.

Mohd Syahril adalah pemilik kereta jenis BMW E46 yang ditimpa tanah runtuh selain tiga kereta lain yang diletakkan di hadapan Rumah Penginapan Tenaga Nasional Berhad Sharples, Tanah Rata, Ahad lalu.

Katanya, keretanya berjaya dikeluarkan oleh pihak kontraktor pada jam 5 petang kelmarin dan diletakkan di hadapan rumahnya sebelum dibawa ke bengkel.

“Kereta saya mengalami kerosakan teruk dan mungkin membabitkan kos pembaikan sebanyak RM25,000 kerana enjinnya pecah.

“Saya tetap akan membaiki kereta ini kerana ia dibeli dengan hasil titik peluh saya sendiri dan ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri,” katanya.

Mohd Syahril berkata, dia kini menggunakan sebuah lagi kereta miliknya untuk berulang alik ke tempat kerja.

Dalam kejadian jam 3 petang, Ahad lalu, seramai 13 penghuni di rumah penginapan terbabit diarahkan berpindah selepas berlaku tanah runtuh namun tidak membabitkan kecederaan mangsa.

Runtuhan itu mengakibatkan banglo berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan serta empat kereta yang diletakkan berdekatan banglo itu turut rosak dihempap runtuhan tanah.

Disiarkan pada: December 28, 2016 @ 7:14am
d