mutakhir

Ceria dapat kawan baru

Langkawi: Majlis pendaftaran murid tahun satu sesi persekolahan 2017 di Sekolah Kebangsaan Langkawi (SKL), di sini, semalam, dipenuhi dengan pelbagai aksi dan ragam terutama dalam kalangan murid tahun satu.

Tinjauan Harian Metro di dewan terbuka sekolah itu pada jam 9 pagi, mendapati tiada tangisan, sebaliknya gamat dengan celoteh, riak wajah ceria dan rasa teruja murid memperoleh rakan baru.

Murid terbabit dilihat tidak segan untuk menyapa antara satu sama lain dan tidak kekok menjawab pertanyaan guru yang bertugas di meja pendaftaran.

Selain itu, tidak ketinggalan kelibat ibu bapa yang semestinya mahu melihat gelagat anak mereka pada hari pertama memasuki alam persekolahan.

Seorang murid, Nur Aina Norhazram, 7, berkata, dia memang suka pergi ke sekolah kerana boleh mendapat ramai kawan baru yang sebaya.

“Saya bangun awal hari ini (semalam).... memakai baju baru yang dibeli ibu dan abah untuk datang ke sekolah,” katanya yang juga anak keempat dari enam beradik.

Anak tunggal, Nur Qistina Khairina Mazlan, 7, pula berkata, dia teruja apabila diberitahu bapanya, Mazlan Mat Isa, 31, bahawa sesi baharu persekolahan tahun satu dimulakan semalam.

“Pagi ini (semalam) saya bangun awal... tak payah ibu kejutkan kerana seronok nak datang sekolah dengan pakaian dan beg baharu,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Sementara itu, Guru Besar SKL, Mahtar Desa berkata, seramai 100 murid tahun satu mendaftar di sekolah itu membabitkan 69 lelaki dan 31 perempuan.

“Dalam tempoh tiga jam program ini kita turut adakan taklimat kepada murid dan waris selain proses pembelian peralatan tulis di kedai buku sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2016 @ 7:52am
d