mutakhir

9 pasangan bersanding

Parit Buntar: Sembilan pasangan pengantin dari seluruh daerah Kerian selamat dinikah dan disandingkan secara beramai-ramai pada Majlis Nikah Jama’ie Syarie’ peringkat Daerah Kerian tahun 2016, di sini, semalam.

Majlis anjuran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Parlimen Parit Buntar dengan kerjasama syarikat perunding perkahwinan, Razzwan Qaseh, kedai Kobis Bunga Bakery dan syarikat Haji Sani Catering dimulakan dengan majlis akad nikad di Masjid Ubudiah, Taman Seri Tenggara, di sini, jam 8.30 pagi.

Seramai 1,000 saudara-mara menghadiri majlis itu bagi menyaksikan pasangan pengantin diarak ke Dewan Kerian Permai untuk majlis persandingan bersama paluan kompang dan bunga manggar.

Pegawai Tadbir Agama Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) Parlimen Parit Buntar Khairul Nizam Mat Nor berkata, majlis julung kali diadakan di daerah Kerian itu bertujuan membantu meringankan bebanan perbelanjaan pasangan pengantin untuk melangsungkan hari bersejarah mereka.

Katanya, sembilan pegawai Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Daerah Kerian serta naib kadi termasuk dirinya terbabit dalam menyempurnakan akad nikah.

“Pasangan diraikan ini dipilih daripada pendapatan RM3,000 ke bawah dan hanya perlu membayar RM2,000 bagi urusan walimatulurus.

“Selain penyediaan majlis berkenaan, mereka mendapat sokongan Pegawai Khas Menteri Besar Perak Datuk Abu Bakar Md Ali yang menyalurkan sumbangan bagi menjayakan majlis bersejarah itu,” katanya.

Khairul Nizam berkata, kejayaan penganjuran majlis itu yang turut mendapat perhatian penduduk setempat memberi keazaman kepada pihaknya untuk meneruskannya pada tahun akan datang.

Pengantin perempuan Nurnadiatul Syamira Mohamad Anuar, 20, berkata, majlis itu bukan saja meringankan perbelanjaan, malah kemeriahan yang dirasai lebih berganda dengan pembabitan ramai pasangan pengantin.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini, penganjuran majlis seperti ini membantu pasangan muda seperti kami untuk mendirikan rumah tangga tanpa belanja yang besar, tetapi tetap meriah,” katanya yang berkahwin dengan pasangannya, Muhammad Syafiq Rosli, 20, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Disiarkan pada: December 29, 2016 @ 8:40am
d