mutakhir

Kutip si manja intai rumah

Oleh Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: Simpati terhadap nasib kucing yang dibuang terbiar di hadapan rumahnya menjadi titik tolak kepada seorang guru menjadikan kediamannya di Bandar Pulai Jaya, Simpang Pulai, di sini untuk ‘memanjakan’ lebih 72 ekor kucing jalanan.

Norliza Hani Idris, 51, mengakui mula membela kucing jalanan sejak 10 tahun lalu dengan hanya memelihara seekor kucing sehingga menyebabkan dia semakin sayang dan sanggup memelihara haiwan itu dalam apa keadaan sekalipun.

Norliza yang mengajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent, Ipoh, berkata, dia yang tinggal berseorangan di rumahnya itu banyak menghabiskan masa dengan kucing yang dianggap seperti anak kandung sendiri selain menjadi peneman di kala duka serta sunyi.

“Kebanyakan kucing yang saya ambil dari kedai makan, tepi jalan bahkan ada orang yang membuang kucing mereka di hadapan rumah saya.

“Ada satu ketika, seorang pelanggan memijak seekor kucing kerana kucing itu mencuri lauknya, jadi saya mengambil kucing yang dipijak itu dan membayar ‘ganti rugi’ kepada pelanggan berkenaan lalu membawanya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Norliza berkata, dia mempunyai tiga jenis kucing iaitu kucing Parsi, kucing Siam dan kucing kampung dan berbelanja kira-kira RM2,500 sebulan untuk kos makanan semua kucing itu.

Katanya, dia juga terpaksa berbelanja besar demi menjaga kesihatan kucing yang memerlukan suntikan vaksin dan membeli produk kesihatan kucing yang lain seperti ubat kutu.

“Kebanyakan kucing saya akan dikasi atau dimandulkan bagi mengelakkan mereka membiak dengan terlalu banyak dan kosnya mahal iaitu RM100 ke atas bergantung kepada klinik tertentu.

“Selain itu, ada kucing yang mengalami penyakit seperti selesema, bulu luruh bahkan sakit buah pinggang yang perlu dirujuk kepada klinik haiwan dan kosnya memang mahal,” katanya.

Menurut Norliza, dia juga melakukan pengubahsuaian di rumahnya dengan menambah satu bilik khas untuk menempatkan kucing kesayangannya.

Katanya, walaupun kos membina bilik itu tinggi, namun dia tetap meneruskan niatnya untuk menambah sebuah bilik khas untuk memudahkan haiwan itu bermain dan tinggal dengan lebih selesa.

“Saya sanggup berkorban demi kucing yang dianggap seperti anak saya sendiri. Ada kalanya saya terpaksa mengikat perut demi mereka (kucing) dan berpuasa bagi memastikan duit untuk membeli makanan kucing mencukupi.

“Ramai yang menyangka saya hidup senang kerana melihat saya hidup seorang diri namun hakikatnya saya masih perlu memikirkan tanggungjawab saya yang lain seperti tanggungjawab terhadap ibu dan bapa tiri saya,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2016 @ 9:11am
d