mutakhir

Terima kasih!

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: “Sebenarnya bermula dari hari pertama pemergian arwah, kami mengadakan program bacaan Yasin serta tahlil dan ia berterusan hinggalah jenazah selamat sampai dan dikebumikan esok (hari ini),” kata Zariah Ahmad, 46.

Zariah berkata demikian ketika mengulas mengenai persediaan keluarga Muhammad Farhan Na’imullah Zubir, 26, yang ditemui lemas di Sungai Ovens, Myrtleford, Australia, 13 Disember lalu, menyambut jenazahnya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 11.55 pagi, hari ini.

Zariah yang juga guru berkata, dia bersyukur kerana semua urusan membawa pulang jenazah anak saudaranya berjalan lancar.

Menurutnya, keluarga Allahyarham Muhammad Farhan Na’imullah berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mendapatkan dana bagi proses membawa pulang jenazah berkenaan.

“Kami ingin sampaikan penghargaan secara peribadi kepada semua penyumbang yang membantu kami termasuk media massa dalam menyokong dan memberi bantuan kepada keluarga terutama menyalurkan maklumat mengenai kes ini.

“Syarikat Tobin Brothers adalah syarikat yang menguruskan kematian dan pendaftaran perkahwinan dan mereka sangat membantu dari aspek menghantar jenazah ke Masjid Preston di Australia untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada syarikat berkenaan, urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia sedang dilakukan.

“Kami dihubungi hari ini (semalam) mengenai pengesahan penerbangan dan sudahpun menjelaskan semua baki bayaran pengurusan jenazah,” katanya.

Beliau berkata, jenazah Muhammad Farhan Na’imullahakan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, di sini.

Disiarkan pada: December 29, 2016 @ 9:15am
d