mutakhir

Bina kewangan kukuh

Oleh Hamizah Badiran

Sama seperti menabung, melabur juga dilihat sebagai persediaan kewangan bagi menghadapi kemungkinan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat pada hari ini kurang mengambil berat menyediakan tabungan menerusi pelaburan sebagai rutin yang boleh dijadikan tabungan di waktu kecemasan.

Keadaan itu menyebabkan ramai terpaksa membuat pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit apabila menghadapi kesukaran, lantas meletakkan kewangan mereka dalam keadaan serius.

Dengan pendapatan “cukup makan” tapi hutang yang menimbun, ini menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan tidak keruan.

Justeru, bagaimana cara untuk mengurus kewangan supaya kita sentiasa mempunyai wang sampingan yang kukuh jika berlaku perkara di luar dugaan?

Penasihat Pelaburan dan Perancang Kewangan, Nazarry Rosli berkata, solusinya ialah dengan melabur dulu baru berbelanja.

“Seperti mana kita berbelanja atau mengeluarkan wang setiap bulan, anda boleh menganggap pelaburan seperti sebahagian dari perbelanjaan yang perlu dilakukan seperti keperluan membayar bil dan hutang.

“Melabur setiap bulan boleh dilakukan secara automatik menerusi kemudahan potongan gaji atau secara dalam talian,” katanya.

Bagi generasi muda, katanya mereka boleh menggunakan cara itu yang dikenali sebagai simpanan paksaan. Ini meliputi konsep melabur dan menabung pada masa yang sama.

“Simpanan paksaan ini memaksa diri sendiri untuk menabung dan pelaburan setiap bulan. Ia harus diingati setiap bulan dan menjadi keutamaan penting di minda berbanding perkara lain seperti membeli belah,” katanya ketika ditemui pada sesi soal jawab bertajuk, Kepentingan Melabur dan Merancang Kewangan Untuk Membina Kewangan Yang Kukuh di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurutnya, seseorang itu perlu melihat kepada pendapatan bulanan dan nilai kemampuan sebenar sebelum melabur.

Paling penting, jangan membuat peruntukan yang besar sehingga menjejaskan keupayaan diri untuk membayar pelbagai bil utiliti, hutang kereta, rumah sewa dan membiayai kehidupan seharian.

“Ini kerana, jika terpaksa mengeluarkan pelaburan kerana tidak mempunyai wang, ia akan menjejaskan matlamat sebenar mengapa kita melabur untuk membina tabungan,” katanya.

Nazarry berkata, ada pelbagai pelaburan yang boleh disertai Amanah Saham Bumiputera (ASB), yang diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad.

Justeru, sebagai pelabur bijak terutama golongan Bumiputera, sepatutnya mengambil peluang ini untuk mengukuhkan kewangan masing-masing dengan membuat pelaburan.

“PNB mempunyai reputasi baik dalam industri saham amanah malah pengalaman saya, agihan PNB terbukti lebih baik dan kompetitif berbanding kadar pulangan diberikan institusi kewangan lain.

“Melalui ASB, masyarakat berpeluang melabur tanpa perlu terdedah kepada risiko keterlaluan, melabur dengan modal kecil dan tidak perlu bimbang dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi semasa kerana ia diuruskan pengurusan profesional.

“PNB juga mempunyai strategi pelaburan tersendiri yang diyakini cukup cekap dan kukuh dari dulu hingga kini,” katanya.

Apabila melabur, biarlah faedah kompaun melebarkan pelaburan dan jangan bimbang jika anda tidak mempunyai modal yang besar kerana pelaburan boleh dimulakan walaupun hanya dengan modal serendah RM50 mengikut kemampuan masing-masing.

Apa yang penting, katanya melabur secara konsisten untuk jangka masa panjang dan laburkan semula dividen yang diterima.

Selain itu, disiplin diri amat penting untuk memastikan pelaburan terus berkembang agar kita dapat mencapai objektif bebas daripada masalah kewangan di kemudian hari.

Selain ASB, ASNB turut menawarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020), Amanah Saham 1Malaysia (AS1M), Amanah Saham Didik (ASD), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Nasional 2 (ASN2) dan Amanah Saham Gemilang.

Disiarkan pada: December 29, 2016 @ 12:02pm
d