mutakhir

Artifak 5 alaf

Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: Penemuan ribuan kulit kepah di Kampung Guar Kepah, dekat sini, membuktikan kawasan berkenaan pernah menjadi lokasi penempatan penduduk di Seberang Perai, malah dikatakan berusia 5,000 tahun iaitu lebih tua daripada tapak sejarah Lembah Bujang di Kedah.

Ia diperkukuhkan dengan kedudukan Guar Kepah berhampiran Sungai Muda yang menjadi laluan utama kapal dagang satu ketika dulu hingga mewujudkan kawasan penempatan di Kota Kuala Muda, Kedah.

Perkampungan Guar Kepah dipercayai lebih awal dibuka berbanding penempatan awal di bahagian pulau seperti Sungai Pinang, Sungai Gelugor, Teluk Kumbar dan Tanjung Tokong.

Sumber Jabatan Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kawasan penempatan di Guar Kepah dipercayai lebih tua berbanding di Lembah Bujang (1,500 tahun) berdasarkan kesan paras laut sedangkan Lembah Bujang sendiri lebih tua daripada Angkor Wat di Kemboja dan Candi Borobudur di Bali, Indonesia.

Menurutnya, berdasarkan kajian sebelum ini, kesan peninggalan komuniti Neolitik berusia 5,000 tahun di tapak penemuan kulit kepah selain tembikar lama manakala Sungai Muda menjadi sumber air utama kepada komuniti terbabit.

“Berdasarkan kajian arkeologi dan sejarah, tidak dinafikan Guar Kepah kawasan penempatan lebih awal berbanding penempatan ditemui di bahagian pulau yang didakwa ditemui Francis Light pada 1786,” katanya.

Semalam, kerja merobohkan rumah kosong dekat kampung itu dilakukan dengan kerjasama USM, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara, Majlis Perbandaran Seberang Perai, polis serta penduduk setempat.

Ribuan serpihan kulit kepah ditemui di tapak rumah kosong sebaik ia dirobohkan selain penemuan tembikar lama dipercayai mempunyai kaitan sejarah penempatan awal di situ.

Menurut sumber, serpihan tengkorak manusia pernah ditemui British di tapak berkenaan pada 1851 sebelum laporan analisis dikeluarkan pada 1863 dan laporan ekskavasi dikeluarkan pada 1938.

“Berikutan penemuan tapak arkeologi itu, Guar Kepah sesuai untuk pembinaan Muzium Arkeologi Guar Kepah, manakala serpihan bahan sejarah serta tengkorak yang kini ditempatkan di Belanda dicadangkan ditempatkan di muzium berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Guar Kepah Azhar Kasim berkata, kawasan penemuan kulit kepah itu dulunya dikatakan laluan Sungai Muda.

“Menurut orang tua, berikutan terlalu banyak kulit kepah, kawasan berkenaan digelar Bukit Kepah, tetapi

Disiarkan pada: December 30, 2016 @ 8:07am
d