mutakhir

500 koop sekolah niaga runcit

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Rawang: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan 500 koperasi sekolah akan terbabit dengan bidang perniagaan runcit menjelang 2020.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini kira-kira 200 koperasi sekolah terbabit dengan perniagaan runcit yang menjadi antara penyumbang pendapatan terbesar entiti itu.

Katanya, ada koperasi sekolah terbabit menyertai Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan mencapai kejayaan memberangsangkan dari segi jualan produk serta pendapatan sekali gus membuktikan ia bukan sekadar tempat menjual peralatan sekolah sebaliknya berkeupayaan menjual pelbagai keperluan harian.

“Kita juga menyasarkan 50 koperasi sekolah akan menjana perolehan RM1 juta setahun menjelang 2020 dan setakat ini lima koperasi sekolah pernah mencapai sasaran ini.

“Kita optimis ia mampu dicapai kerana ada lebih 300 koperasi sekolah yang memperoleh pendapatan antara RM300,000 hingga RM1 juta setakat ini yang diyakini dapat menambah perolehan mereka dalam masa terdekat,” katanya ketika melawat Karnival Mini Kembali Ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Puteri, semalam.

Hadir sama Pengetua SMK Bandar Tasik Puteri Norzida Ab Muin.

Abdul Fattah berkata, beliau mengesyorkan supaya 2,349 koperasi sekolah yang bernaung di bawah ANGKASA di seluruh negara mengadakan karnival jualan kelengkapan persekolahan di sekolah masing-masing selama seminggu pada hujung November hingga awal Disember.

Disiarkan pada: December 30, 2016 @ 10:13am
d