mutakhir

Pesakit bagai darah daging sendiri

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Bagaikan darah daging sendiri, setiap anak biliary atresia atau kegagalan fungsi hati yang mendapatkan rawatan di Hospital Renji, Shanghai, China akan disambut dan dilayan seperti keluarga oleh Datin Fairos Ishak yang menetap di Beijing sejak dua tahun lalu.

Biarpun perlu menempuh perjalanan jauh selama dua jam menggunakan pengangkutan udara dan lima jam untuk kereta api dari tempat tinggalnya ke Shanghai, Penaung Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (Nadi Permata) itu sanggup meredah perjalanan jauh berkenaan demi menyambut ketibaan anak biliary atresia dari Malaysia.

Tekadnya, apapun jua cabaran dia sanggup menghadapinya dan cuba berusaha sebaik mungkin asalkan kehadirannya sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga si kecil.

Daripada sokongan moral dan nasihat hingga kepada segala keperluan termasuk masalah visa, tempat penginapan dan prosedur ketat hospital semuanya diuruskan sebaik mungkin bagi memudahkan urusan keluarga berkenaan di sana.

Menurut isteri kepada Datuk Zainuddin Yahya yang juga Duta Besar Malaysia ke China itu, beliau membayangkan keadaan keluarga berkenaan yang datang ke tempat asing jauh dari Malaysia dengan harapan tinggi anak mereka ada peluang sembuh selepas menjalani rawatan di China.

“Setiap anak biliary atresia dan keluarga mereka yang datang ke sini, kita akan beri sokongan dan bantuan sewajarnya sebab mereka datang sini tiada sokongan selain hanya kita di China,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, Nadi Permata bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk kedutaan Malaysia di China dan Hospital Renji untuk memudahkan urusan dan memberi keselesaan sepanjang anak biliary atresia dan keluarga mereka berada di China.

“Di China, prosedur mereka amat ketat dan banyak birokrasi tetapi hasil perbincangan dengan pihak hospital kita dapat memendekkan masa pembedahan pemindahan hati daripada sebulan kepada sekurang-kurangnya seminggu selepas tiba dari Malaysia.

“Alhamdulillah pihak hospital juga memberi kita kadar paling murah dan bukannya harga pesakit antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2016 @ 11:01am
d