mutakhir

KPM komited tangani gejala dadah

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited dalam menangani gejala dadah membabitkan pelajar sekolah walaupun semua kes dikesan berlaku di luar kawasan dan waktu persekolahan.

Dalam usaha memastikan pelajar sekolah bebas daripada dadah, KPM juga mengambil inisiatif menubuhkan satu unit khas bagi menangani masalah dadah iaitu unit Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof berkata, langkah itu membabitkan semua Pejabat Pelajaran Daerah di mana seorang pegawai ditugaskan mengawal selia PPDa.

Katanya, semua sekolah juga mempunyai jawatankuasa PPDa yang akan melaksanakan program ini sepanjang tahun.

“Program PPDa di sekolah adalah meliputi pengajaran dalam kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

“Program PPDa ini juga membabitkan kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM),” katanya.

Dr Khair berkata, program PPDa yang dilaksanakan di sekolah tidak hanya tertumpu kepada dadah, malah turut difokuskan kepada bahaya rokok, alkohol dan HIV.

“Sebagai pencegahan awal, KPM juga bekerjasama dengan KKM melalui program ‘I’am Free’ iaitu pencegahan rokok bermula seawal tahun satu,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2016 @ 4:51am
d