mutakhir

Kemeriahan bermula

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pertunjukan pemetaan laser dan tayangan melalui hologram serta ‘flyboard’ atau papan terbang menjadi acara tumpuan orang ramai di majlis pelancaran Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017, di sini, malam tadi.

Persembahan unik itu menjadi tontonan orang ramai yang berada di Pulau Warisan dan Duyong Marina Resort serta kawasan sekitarnya sejurus Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah dan perkenan melancarkan VBT 2017.

Turut berangkat ke majlis perasmian gilang-gemilang itu ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Mohd Zuber Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Selain pertunjukan unik itu, lebih 10,000 pelancong dari dalam dan luar negara serta penduduk tempatan turut terpukau dengan aksi persembahan jet ski bercahaya serta pertunjukan bunga api.

Sempena pelancaran VBT 2017, pelbagai lain acara termasuk pertunjukan bot berhias, Jejak Beautiful membabitkan promosi produk pelancongan daripada lapan daerah selain Jejak Terengganu Peranakan diadakan di Pulau Warisan yang bermula sejak pagi semalam sehingga esok.

Kerajaan negeri menyasarkan lebih 30,000 pelancong dari dalam dan luar negara, termasuk pengunjung hadir untuk menyaksikan pelbagai acara menarik disediakan selama tiga hari yang bermula semalam
di beberapa lokasi.

Selain di Pulau Warisan, Pentas Budaya Beautiful yang menampilkan persembahan kebudayaan termasuk rodat, gamelan, wayang kulit, tarian tradisional dan pameran serta jualan oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diadakan di Dataran Shah Bandar.

Kerajaan negeri juga tidak menghampakan golongan belia yang berminat dalam permotoran apabila menganjurkan Terengganu MotorFest 2017 di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir sehingga 3 Januari.

Wan Nawawi berkata, Nasi Lemak Beautiful dan minuman percuma turut disediakan kepada pengunjung di Pulau Warisan selama tiga hari bermula semalam.

“Nasi lemak itu yang disumbangkan peniaga di sekitar bandar Kuala Terengganu disediakan sebanyak 1,000 bungkus setiap hari dan diagihkan secara percuma kepada pengunjung bermula jam 10 pagi sehingga habis,” katanya.

Menurutnya, VBT 2017 adalah usaha kerajaan negeri untuk menjadikan industri pelancongan sebagai nadi penggerak kepada transformasi pembangunan negeri yang lebih berdaya saing dan progresif.

Katanya, walaupun kerajaan negeri tidak mendapat pulangan secara tunai sepanjang VBT 2017 berlangsung mulai bulan ini sehingga Disember, tetapi program diadakan dapat menjana peningkatan taraf sosio ekonomi kepada penduduk negeri ini.

“Kerajaan negeri menyasarkan mampu menarik kedatangan sehingga 5.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang tahun ini.

“Ia berdasarkan kepada usaha promosi secara besar-besaran yang dibuat bagi menjayakan VBT 2017 serta beberapa acara serta karnival yang bakal diadakan sepanjang tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2017 @ 5:29am
d