mutakhir

Derita tubuh kecil [METROTV]

Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Georgetown: Dari segi luaran dan fizikal, pasangan kembar Nur Syawani dan Nur Syawana Zurbani yang berusia lima tahun nampak seperti kanak-kanak normal lain.

Namun, tidak ramai tahu, tubuh kecil itu menanggung derita apabila seorang daripadanya mengalami masalah jantung manakala seorang lagi berdepan penyakit usus kronik.

Kembar berkenaan dilahirkan pramatang oleh Suzana Mohd Salleh, 35, hasil perkahwinan dengan Zurbani Yasak, 34, di Hospital Pulau Pinang (HPP), lima tahun lalu.

Selepas dilahirkan mereka ditempatkan di wad kanak-kanak pramatang di dalam inkubator yang dilengkapi dengan sistem pengudaraan bagi membolehkan mereka bernafas.

Ketika itu, doktor memaklumkan kepada Zurbani, seorang daripada anaknya menghidap penyakit jantung dan seorang lagi berdepan masalah usus teruk dan perlu perlu menjalani pembedahan bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Zurbani yang bekerja sebagai tukang cuci di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang tidak mampu membiaya kos pembedahan anaknya dan mendapat bantuan daripada Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Ketika usia mereka dua minggu, pembedahan pertama dilakukan ke atas Nur Syawani yang menghidap sakit jantung dan doktor memasukkan belon bagi membolehkan jantungnya berfungsi seperti biasa.

Manakala adiknya, Nur Syawana menjalani pembedahan usus pada hari sama namun pembedahan tidak berjaya dan usus Syawana terkeluar melalui lubang dibedah itu.

Zurbani membawa Nur Syawana menjalani pembedahan membaiki usus terkeluar itu, bagaimanapun pembedahan kedua juga gagal dan usus Syawana masuk ke dalam serta meninggalkan kesan pelik pada badannya.

Zurbani yang tinggal di Taman Tun Sardon di sini, berkata, dia tidak tahu bagaimana mahu mencari wang bagi membiayai kos pembedahan untuk kedua-dua anak kembarnya berikutan belon yang dimasukkan ke dalam jantung Nur Syawani sudah pecah.

“Sekarang saya membawa mereka untuk menjalani pemeriksaan susulan setiap bulan bagi dipantau doktor untuk melihat belon dan usus anak saya.

“Doktor memaklumkan Nur Syawani perlu menjalani pembedahan menggantikan belon yang pecah dan boleh mengganggu injap jantungnya.

“Saya berpendapatan RM900 sebulan dan membayar sewa rumah RM500 dan baki digunakan untuk membeli keperluan harian bagi menyara keluarga.

“Selain pasangan kembar itu, saya memiliki dua lagi anak dan sekarang isteri mengandung anak kelima kami,” katanya.

Zurbani berkata, baki gaji digunakan membeli keperluan harian seperti beras dan gula, sekali gus tidak disimpan untuk membayar kos pembedahan bakal dilakukan terhadap anaknya.

Beliau berkata, setakat ini, doktor belum memaklumkan jumlah kos bagi pembedahan yang akan dilakukan ke atas anaknya, tetapi yakin kos itu mahal dan tidak mampu ditanggungnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zurbani di talian 012-5387304 atau ke rumah sewanya di Taman Tun Sardon, di sini.

Disiarkan pada: January 1, 2017 @ 6:12am
d