mutakhir

Peralatan, kelengkapan sekolah hangus dijilat api

Oleh Amir Hamzah Nordin

Jerantut: Persiapan tiga beradik untuk memasuki sesi persekolahan yang bakal bermuka esok tergendala selepas semua peralatan dan kelengkapan untuk ke sekolah musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Betong, di FELDA Padang Piol, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, Nurul Nina Erwayu Roslee, 16, Nurul Diana Elyana, 14 dan Nurul Ain Ezatty, 10, masing-masing tidak sempat menyelamatkan kelengkapan persekolahan mereka apabila hanya mampu melihat rumah serta lori dua tan dan empat motosikal milik keluarga mereka hangus terbakar.

Menurut Nurul Nina Erwayu, ketika kejadian dia bersama adik-beradik lain termasuk abang sulung mereka, Khairul Anuar, 19, berada di luar rumah sebelum menyedari kejadian itu dan tidak mampu menyelamatkan barangan peribadi milik mereka.

“Semua kelengkapan persekolahan baru dibelikan ayah (Roslee Arshad, 47) pada minggu lepas dan kami adik beradik terkilan dengan kejadian ini dan tidak tahu untuk lakukan apa lagi. Sudahlah rumah yang menjadi tempat kami berteduh musnah malah pakaian sekolah kami juga hangus terbakar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku ketika mereka sekeluarga sedang bersedia untuk menyambut Tahun Baru 2017 dan merancang untuk makan malam bersama.

Bagaimanapun, kesedihan tiga beradik itu sedikit terubat apabila Pejabat Ahli Parlimen Jerantut tampil menghulurkan bantuan segera dengan memberikan pakaian dan peralatan persekolahan, semalam.

Keperluan persekolahan dihulurkan sebagai bantuan awal bagi membantu tiga beradik itu mendaftarkan diri pada sesi persekolahan seperti murid dan pelajar lain.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba
Dua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Osman Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 malam sebelum tiba 33 minit kemudian.

“Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa 50 minit sebelum api berjaya dikawal. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.

Difahamkan, satu keluarga itu kerugian RM300,000 termasuk tiga kenderaan yang musnah dalam kebakaran itu.

Disiarkan pada: January 2, 2017 @ 8:36am
d