mutakhir

Sangka tembak babi rupanya kawan sendiri

Oleh myMetro

Jelebu: Seorang lelaki yang menyangka menembak babi, rupa-rupanya tertembak rakan sendiri sehingga cedera ketika mereka berburu di sebuah kebun getah di Peradong, di sini, semalam.

Sum Mun Kiong, 50, cedera di perut selepas terkena tembakan dilepaskan rakannya berusia 51 tahun itu ketika berburu bersama seorang lagi rakan mereka, pada jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri berkata, mangsa melihat seekor babi melintas lalu melepaskan tembakan ke arah haiwan itu, namun tersasar.

“Rakan mangsa yang melihat babi terbabit turut melepaskan tembakan. Lelaki terbabit menyangka tembakannya mengenai haiwan berkenaan lalu berlari ke arah kawasan itu.

“Bagaimanapun, lelaki itu menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan cedera di perut dipercayai terkena tembakan dilepaskannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Jelebu, di sini, untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk pembedahan bagi mengeluarkan peluru.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, lelaki terbabit mengakui tiada masalah dengan mangsa dan kejadian berlaku tidak disengajakan.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati senapang yang digunakan mereka mempunyai permit sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjatapi 1960.

Disiarkan pada: January 2, 2017 @ 9:03am
d