mutakhir

Tak sempat selamat 30 ayam peliharaan

Oleh myMetro

Hulu Terengganu: “Seingat saya sepanjang 40 tahun tinggal di sini, pastinya setiap tahun kena pindah, tetapi kali ini agak sedih sebab tidak sempat selamatkan 30 ekor ayam peliharaan daripada dihanyutkan,” kata Deraman Yunos, 73, dari Kampung Bukit Tadok, di sini, semalam.

Deraman adalah antara 138 mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan banjir kampung berkenaan sejak kelmarin.

Dia yang juga individu paling tua di pusat pemindahan itu berkata, dia dan isteri, Siti Aminah Uda, 64, serta anak dan cucunya terpaksa berpindah selepas rumah mula dinaiki air akibat hujan lebat kira-kira jam 4 petang kelmarin.

“Mujur juga rumah saya dengan pusat pemindahan dekat saja. Memang tiap-tiap tahun kami terpaksa pindah sebab banjir dan kami sudah biasa serta tahu bagaimana menghadapinya.

“Cuma saya agak terkilan apabila semua 30 ekor ayam dipelihara dihanyutkan air. Nasib baik saya sempat selamatkan dua ekor lembu peliharaan dengan membawa haiwan itu ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Sehingga jam 5.30 petang semalam, seramai 1,619 mangsa daripada 602 keluarga dipindahkan ke 15 pusat pemindahan di Hulu Terengganu.

Mangsa paling ramai dipindahkan ialah di Kampung Tengkawang membabitkan 251 orang daripada 119 keluarga.

Sementara itu, tinjauan di kawasan yang terjejas banjir mendapati masih ada dalam kalangan penduduk di daerah berkenaan enggan berpindah ke pusat pemindahan berhampiran walaupun paras air di kawasan kediaman mereka agak tinggi.

Pelbagai alasan diberikan antaranya bimbang keselamatan haiwan peliharaan dan ada segelintir lagi menyuarakan keyakinan banjir akan surut dengan segera.

Tinjauan ke Kampung Bukit Tadok mendapati, beberapa keluarga tetap berdegil dan tidak mahu meninggalkan kediaman masing-masing.

“Melihatkan cuaca cerah hampir sepanjang hari ini, saya yakin sekejap lagi surutlah air banjir ini,” kata Wan Awang Wan Chik yang berusia lewat 60-an ketika ditemui.

Menurutnya, walaupun air sudah separas dada orang dewasa, dia yakin banjir tidak akan masuk hingga ke dalam rumahnya kerana ia dibina agak tinggi berbanding jirannya yang lain.

Disiarkan pada: January 2, 2017 @ 9:18am
d