mutakhir

11 penderma sanggup beri hati

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Saya terharu ada 11 orang sanggup nak beri hati mereka kepada Qaisara tetapi kami juga runsing kerana dana yang ada hanya RM8,000 sedangkan kos sebenar rawatan ke China ialah RM160,000,” demikian kata Che Rohyati Mohamad, 37, ibu kepada Qaisara Batrisya Ahmad Ariffin yang menghidap biliary atresia.

Qaisara Batrisya atau panggilan manjanya Qaisara yang berusia dua tahun lima bulan itu dijangka berlepas ke China Sabtu ini, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Renji, Shanghai.

Menurut Che Rohyati, selepas kisah anaknya disiarkan muka depan Harian Metro Rabu lalu, ramai rakyat Malaysia tidak kira bangsa menghubungi mereka untuk menyalurkan bantuan dan memberi kata perangsang.

“Terima kasih kepada Harian Metro dan rakyat Malaysia yang memberikan bantuan dan kata semangat selain sudi mendermakan hati mereka kepada Qaisara.

“Tetapi dengan rendah hati kami merayu bantuan orang ramai untuk mencukupkan dana bagi membiayai rawatan anak kami sepanjang di China kerana wang simpanan kami juga sudah banyak dihabiskan semasa pembedahan pemindahan hati kali pertama Ogos lalu,” katanya.

Menurutnya, dia dan suaminya, Ahmad Ariffin Abd Hamid, 43, kini masih setia menemani anak tunggal mereka mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak lebih seminggu lalu berikutan keadaan Qaisara yang semakin lemah.

“Alhamdulillah, selepas mendapat rawatan dan dipantau doktor di sini, keadaan Qaisara semakin menunjukkan perubahan positif dan perut kembungnya semakin mengempis.

“Cuma setakat semalam (kelmarin) bacaan bilirubin dia semakin tinggi iaitu 328 dan matanya masih kuning dan doktor memberi nasihat supaya Qaisara dibawa ke China secepat mungkin.

“Kami kini masih menunggu kebenaran doktor untuk pulang ke Mentakab, Pahang untuk membuat persiapan sebelum berangkat ke China bersama Nadi Permata (Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia) pada Sabtu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Nadi Permata Marsilayuhaini Baharuddin berkata semua maklumat peribadi dan sejarah kesihatan bakal penderma hati sudah direkodkan pihaknya dan akan dirujuk kepada pakar terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya.

“Alhamdulillah, nama mereka ada dalam simpanan kami, tetapi kami juga perlu mendapatkan nasihat pakar di China terlebih dahulu untuk memastikan sama ada hati mereka sesuai dipindahkan kepada Qaisara.

“Selain Qaisara, kami juga akan membawa seorang bayi lelaki, Umar Rizal Lutfi yang berusia sembilan bulan, Sabtu ini untuk menjalani pemindahan hati kali pertama,” katanya menjelaskan, kos rawatan dan pengurusan dua anak ini ke China menelan belanja RM320,000.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Che Rohyati 556020060516 atau BSN 0650041000046896 atau ke akaun Maybank Nadi Permata 551575307417 atau menghubungi Pengerusi Nadi Permata, Marsilayuhaini Baharuddin di talian 013-7444501.

Disiarkan pada: January 2, 2017 @ 10:08am
d