mutakhir

Ilham dua beradik

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Bagi menjimatkan kos, dua nelayan adik-beradik menggunakan kemahiran dimiliki untuk membuat bubu yang digunakan secara meluas untuk menangkap ikan di celah batu karang.

Adik-beradik itu turut menggunakan koordinat ditentukan berdasarkan bacaan pada alat Sistem Kedudukan Global (GPS) sebagai panduan bagi memudahkan usaha mengesan bubu berkenaan yang dibuang dalam jarak antara 15 hingga 25 batu nautika dari pantai.

Mohd Said Saad, 51, berkata, dia dan abangnya, Haron Saad, 64, mengambil keputusan membuat sendiri bubu berikutan harga alat menangkap ikan itu semakin meningkat sejak tiga tahun lalu.

Katanya, mahu atau tidak mereka perlu menggantikan bubu berkenaan kerana ada yang mengalami kerosakan atas pelbagai faktor dan tidak lagi sesuai diguna untuk menangkap ikan bermain di celah batu karang seperti ikan merah, jenahak, kerapu, mandi abu dan ketak lantai.

Mereka menggunakan batang paip PVC, tali jaring, dawai dan tali untuk menghasilkan bubu bersaiz 1.8 X 1.2 meter, didakwa boleh tahan dalam tempoh yang lebih lama.

“Bagi menjadikan bubu berkenaan berat dan mudah tenggelam ketika dipasang di celah batu karang kami, memasukkan bancuhan simen ke dalam batang paip PVC yang dijadikan sebagai tapak alat menangkap ikan itu.

“Tali jaring berharga RM17.50 sekilogram (kg). Pada kebiasaannya kami membeli 25 kg untuk menghasilkan antara 30 hingga 35 bubu. Satu gelung paip PVC berharga RM90 yang boleh menghasilkan 10 bubu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Dahan, kelmarin.

Sementara itu, Haron berkata, jangka hayat bubu dihasilkan mereka boleh mencapai sehingga tiga tahun berbanding diperbuat daripada dawai yang kebiasaannya bertahan selama setahun saja.

“Bagaimanapun ‘injap’ (pintu) hanya boleh bertahan selama setahun, jadi saya dan Mohd Said perlu melakukan pemeriksaan secara kerap dan gantikan bahagian itu jika sudah rosak, jika tidak ikan akan terlepas.

“Usaha ini membolehkan kami merasai penjimatan ketara, modal diperlukan untuk hasilkan satu bubu hanya RM100 berbanding RM200 jika beli yang sudah siap,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2017 @ 9:36am
d