mutakhir

30 sukarelawan Mara bersihkan sekolah terjejas banjir [METROTV]

Oleh Nazdy Harun

Hulu Terengganu: Seramai 30 sukarelawan daripada Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara) menyumbang tenaga membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Matang, yang terjejas banjir sejak Sabtu lalu.

Pengarahnya, Salime Yusof berkata, memandangkan cuaca semakin baik, usaha dilakukan bagi membolehkan sesi persekolahan yang tertangguh dimulakan esok.

Menurut beliau, pihaknya membawa 30 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Mara negeri dan daerah yang menjalankan gotong-royong sejak jam 7 pagi membersihkan sekolah berkenaan.

“Kita harap dengan bantuan yang dihulurkan dapat membantu pihak sekolah memulakan sesi persekolahan yang tertangguh sejak Sabtu berikutan sekolah ini ditenggelami banjir.

“Cuaca juga semakin baik dan diharap ia akan berterusan bagi membolehkan pelajar meneruskan sesi persekolahan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Matang, Mohd Noor Abd Hadi berkata, seramai 146 pelajar terjejas apabila sekolah ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter.

“Pihak sekolah sebelum ini sudah melakukan persiapan awal dengan mengalihkan kelengkapan di sekolah ini ke bahagian lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.

“Pengalaman saban tahun dilanda banjir membolehkan kami melakukan persiapan awal dan pembersihan membabitkan bahagian yang disaluti lumpur,” katanya.

Menurutnya, bantuan yang dihulurkan pelbagai pihak dapat membolehkan sesi persekolahan dibuka esok selepas ditutup akibat banjir.

Disiarkan pada: January 3, 2017 @ 10:20am
d