mutakhir

'Seminggu tunggu sofa tak sampai'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Dua lelaki menggunakan laman sosial Facebook (FB) untuk menjual aksesori wanita, perabot dan kereta terpakai, namun ia tidak dihantar kepada pembeli walaupun selepas bayaran dibuat.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 33, berkata, dia tertarik untuk membeli cincin perak diiklankan dalam FB itu kerana ia jauh lebih murah berbanding yang ditawarkan penjual lain.

“Dalam iklan di FB, mereka menawarkan RM100 bagi sebentuk cincin buatan Korea. Namun, sekiranya saya membeli secara borong, mereka tawarkan harga lebih murah. Saya dan rakan bersetuju untuk membeli 50 cincin pada harga RM2,350.

“Pada 27 November 2016, saya mendepositkan bayaran berkenaan ke akaun bank milik seorang daripada individu terbabit dikenali sebagai Tan. Selepas beberapa hari menunggu, barangan dijanjikan tidak sampai ke rumah saya di Taman Perling, Johor Bahru, Johor.

“Saya berusaha menghubungi Tan namun panggilan telefon tidak dijawab manakala akaun FB mereka sudah dipadam. Saya kemudiannya melaporkan penipuan ini di Balai Polis Johor Bahru Sentral,” katanya, semalam.

Bagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fadillah, 22, dia tertarik untuk membeli sofa yang ditawarkan pada harga RM100 sebuah.

“Saya beli tiga sofa pada harga RM300 sebelum mendepositkan wang berkenaan ke akaun bank seorang lelaki Tionghua, 18 Disember 2016.

“Selepas seminggu menunggu, sofa masih tidak sampai ke rumah sewa saya di Kulim, Kedah. Saya menghubungi penjual terbabit, namun talian telefon sudah ditamatkan perkhidmatan. Akaun FB mereka turut dipadam,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2017 @ 10:25am
d