mutakhir

Hilang gugup jumpa Ultraman, Mickey Mouse

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: “Lega sangat hati ini apabila melihat anak pulang dari sekolah dengan senyuman dan gembira selepas disambut idola kartun kegemarannya ketika ke sekolah pagi tadi,” kata Noor Mazatul Azua Halim.

Ibu kepada murid tahun tiga, Muhammad Aliff Ariffin Abdullah itu mengakui penggunaan watak kartun ternyata berjaya mengurangkan tekanan hari pertama persekolahan dalam kalangan kanak-kanak.

“Anak saya bukan saja nampak seronok, malah lebih bersemangat untuk menjalani sesi persekolahan pada hari seterusnya dengan hadirnya kartun terkenal itu yang sangat diminati ramai kanak-kanak.

“Inisiatif ini dilihat berkesan terutama mengurangkan rasa gugup murid darjah satu yang pertama kali menjalani sesi persekolahan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Noor Mazatul Azua yang memuat naik beberapa gambar anaknya bersama Mickey dan Minnie Mouse di Facebook menjadi tular pada Ahad lalu pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Scientex Pasir Gudang, Johor Bahru..

Sementara itu, bagi Shaiful Rizal Massrol, kehadiran watak kartun berkenaan menceriakan anaknya, Muhammad Danish Irfan, 7, dan murid lain kerana ia berjaya menghilangkan gementar kanak-kanak seusia anaknya.

“Kehadiran Ultraman menyambut murid di Sekolah Kebangsaan Sri Rengit di Batu Pahat adalah cara yang baik untuk memulakan tahun persekolahan.

“Saya rasa teruja anak disambut dengan Ultraman. Cara ini dapat menarik murid supaya ke sekolah terutama sekali yang baru mengenali suasana sekolah,” katanya.

Netizen turut menyatakan rasa teruja melihat beberapa keping gambar murid bersama adiwira dan watak kartun terkenal dan berharap sekolah lain akan mengikut kaedah berkenaan bagi mengurangkan gugup kanak-kanak.

Disiarkan pada: January 3, 2017 @ 10:46am
d