mutakhir

Pelajar takut rambut rosak pakai topi keledar

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: “Rambut rosak bang,” itu antara alasan tidak munasabah seorang remaja selepas didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ke sekolahnya.

Tinjauan Harian Metro di tiga sekolah sekitar ibu kota Lumpur mendapati kebanyakan pelajar yang melanggar peraturan ketika menunggang motosikal disebabkan kediaman mereka yang tinggal berdekatan dengan sekolah.

Pelajar yang mahu dikenali sebagai Aizat, 17, berkata, meskipun mempunyai lesen B2 yang sah, dia kerap menunggang motosikalnya tanpa memakai topi keledar sekiranya jarak itu tidak jauh dari rumah seperti ke kedai dan sekolah.

“Kalau pergi kedai tu ada jugak pakai topi keledar, tetapi kalau pergi ke sekolah kebiasaannya tidak pakai. Lagipun rambut akan kering dan rosak jika memakai topi keledar.

“Sekolah di sini di kawasan taman, jadi bukan sahaja remaja, orang tua pun ramai yang tidak memakai topi keledar dan ramai yang melanggar lampu merah,” katanya.

Pelajar Mohamad Razif, 17, berkata, meskipun pernah disaman polis yang membuat sekatan jalan raya di hadapan perumahannya, dia masih lagi tidak memakai topi keledar ketika pergi ke sekolah.

“Saya dan seorang lagi rakan sudah biasa ke sekolah tanpa memakai topi keledar. Jika ada sekatan, kami sudah tahu selok belok jalan pintas,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2017 @ 9:45am
d