mutakhir

Graduan cuci kereta

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: “Ada yang berpandangan sinis kenapa ada ijazah tetapi membuat kerja mencuci kereta, tetapi saya jadikan ia pencetus semangat,” kata Muhammad Nur Redha Same’un, 23, pengusaha Redha Legendary Enterprise (RLE) Mobile Car Wash yang menawarkan khidmat cuci kenderaan dari rumah ke rumah.

Jika biasanya pelanggan ke kedai mencuci kereta untuk membersihkan kenderaan, konsep yang ditawarkan Muhammad dan dua sahabatnya, Mohammad Nor Nazmi Zaaba, 23, dan Nur Syahira Mustapha, 24, yang juga mahasiswa USM Pulau Pinang berbeza kerana memilih datang ke rumah pelanggan.

Muhammad berkata, langkah itu kerana tidak mempunyai modal cukup membuka kedai mencuci kereta yang memerlukan kos tinggi.

Katanya, biarpun mendapat pandangan negatif sesetengah pihak, usaha sejak dua bulan lalu mendatangkan hasil apabila mampu membuat perkhidmatan bukan sekadar mencuci malah menggilap dan membuat kusyen kenderaan.

“Pada mulanya saya hanya menjual produk kosmetik kereta secara dalam talian ketika belajar di universiti dan selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan, saya memikirkan untuk membuka perniagaan sendiri biarpun mencuci kereta.

“Alhamdulillah, perkhidmatan mencuci kereta dari rumah ke rumah mendapat sambutan kerana kebanyakan pelanggan saya adalah mereka yang bekerja dan tidak sempat membawa kenderaan mereka ke kedai mencuci kereta,” katanya yang kini mempunyai tiga pekerja tetap.

Menurut Muhammad, dia akan membawa peralatan mencuci dan meminta persetujuan dengan pemilik rumah sebelum kerja mencuci kereta dilakukan.

Katanya, setakat ini perkhidmatannya bergerak di sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kangkar Pulai malah turut mendapat permintaan di luar kawasan.

“Ada pelanggan yang gembira kami datang mencuci kereta mereka di rumah sendiri kerana ada di antara mereka yang mempunyai lebih tiga kereta dan memerlukan masa sekiranya hendak ke kedai.

“Kami mengambil masa sekitar 15 minit bagi mencuci sebuah kereta dan harga pula bergantung kepada saiz kereta yang dicuci bermula daripada RM9 hingga RM20.

“Sekiranya mendapat permintaan di luar kawasan contohnya di Pontian, kami akan memberitahu pelanggan untuk menambah caj perjalanan sebanyak RM10,” katanya.

Menurut Muhammad, dia dibantu oleh Mohammad Nor Nazmi dari segi perkhidmatan manakala Nur Syahira pula membantu dalam bidang pengurusan perniagaan.

“Nur Syahira akan membantu saya membuat perkhidmatan mencuci kereta ketika cuti semester,” katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Katanya, dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat kerana apa yang dilakukan itu adalah sebagai batu loncatan untuk memulakan perniagaan lain yang lebih menjamin masa depan mereka.

Disiarkan pada: January 4, 2017 @ 9:50am
d