mutakhir

Sate tulang Pak Jakpau tarik perhatian

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Bagi yang gemar meratah lauk-pauk, hidangan sate tulang di gerai Pak Jakpau Corner, Jalan Pokok Manggis, Kampung Pulau Gadong, di sini, pastinya menu yang sesuai untuk mereka.

Sejak diperkenalkan beberapa bulan lalu hidangan juga popular dengan nama sate tulang Melaka mendapat perhatian dalam kalangan penduduk negeri ini dan pelancong.

Pengusaha gerai Pak Jakpau Corner Asni Yaapar, 32, berkata, dia mendapat idea untuk menyediakan hidangan itu selepas tertarik dengan kelazatan sate tulang dijual di sebuah restoran di Negeri Sembilan.

“Sebagai pengusaha gerai makanan saya berasakan hidangan itu boleh dikomersialkan lagi, jadi saya buat kajian sendiri untuk menghasilkan sate tulang menggunakan resipi sendiri.

“Saya beli daging ayam dan ambil bahagian tulang, diperap, dibakar dan dihidangkan kepada ahli keluarga bagi mendapatkan maklum balas mereka,” katanya.

Asni berkata, berdasarkan kepada maklum balas positif diterima hasil eksperimennya itu dia kemudian memberanikan diri untuk menawarkan sate tulang kepada pelanggan yang singgah di gerai diusahakannya.

“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan, sekarang sate tulang menjadi menu pilihan utama pelanggan singgah ke gerai kami.

“Secucuk sate tulang dijual pada harga RM1, sate ayam dan daging pula 90 sen,” katanya.

Selain sate tulang, dia turut menawarkan beberapa lagi menu istimewa seperti mi basah, mi hailam, nasi ayam dan nasi lemak.

Sementara itu, pelanggan gerai berkenaan Siti Faidul Maisarah Abdullah, 32, yang juga penggemar daging ayam berkata, dia tertarik dengan hidangan sate tulang yang dianggap unik dan mempunyai tekstur menyelerakan.

“Saya memang ‘layan’ sate tulang ini. Jika sate biasa hanya ada daging, tetapi hidangan ini unik kerana mengandungi campuran daging dan tulang.

“Kena makan perlahan-lahan, baru rasa keseronokan menggigit isi daging ayam dan mengunyah tulang yang lembut, lebih melazatkan jika sate dihidangkan ketika masih panas,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2017 @ 9:08am
d