mutakhir

Kit kebersihan diri sumbangan Media Prima untuk mangsa banjir

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: “Kit bantuan sumbangan Tabung Bencana Media Prima-NSTP amat membantu mangsa banjir yang tidak sempat membawa kelengkapan diri ketika menyelamatkan diri,” kata Rafizah Abd Razab, 34, mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Pengkalan Ajal, di sini, semalam.

Menurut Rafizah, mangsa kebiasaannya hanya membawa pakaian ke PPS dan kelengkapan diri seperti sabun, syampu, berus dan ubat gigi tidak akan dibawa.

“Ketika meninggalkan rumah, mangsa hanya sempat membawa pakaian dan dokumen penting saja. Sebaik tiba di PPS, kami sukar untuk ke kedai membeli kelengkapan diri kerana jalan utama terputus hubungan.

“Saya amat berterima kasih kepada Briged Sukarelewan Media Prima-NSTP yang sanggup meredah banjir untuk datang ke pusat pemindahan ini bagi menyalurkan bantuan.

“Malah, saya difahamkan mereka turut mengalami kesulitan untuk tiba di lokasi pemindahan di Kampung Pengkalan Ajal kerana terputus hubungan selepas keseluruhan kampung ini dan beberapa kampung berhampiran ditenggelami air hingga paras dua meter,” katanya.

Sementara itu, wakil Media Prima yang juga Ketua Biro Berita Harian Terengganu Rosli Abdul Jalil berkata, sebanyak 120 beg beserta kit terbabit adalah hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Bencana Media Prima-NSTP yang digerakkan Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP ke kawasan bencana.

Disiarkan pada: January 5, 2017 @ 9:42am
d