mutakhir

Bina rumah kontena

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Pelbagai bantuan kemanusiaan terus disalurkan kepada rakyat Syria yang berdepan dengan kesukaran dan terbaharu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama kerajaan Turki merancang membina 1,000 rumah kontena bagi kegunaan pelarian terbabit.

Pengarah Strategik MAPIM Sani Araby Al-Kahery berkata, pembinaan rumah berkenaan menerusi perkampungan pelarian yang diberi nama Kem Malaysia-Turki itu dijangka bermula Februari depan.

Di samping itu, beliau berkata, MAPIM dan Turki akan menjadi operator selama tiga tahun.

“Selepas meninjau keadaan di sana, mereka sangat memerlukan bantuan kecemasan dan asas malah, pelarian terbabit tidak ada rumah dan jika ada pun ia sekadar untuk menumpang serta tidak selesa.

“Bukan itu saja, khemah yang diduduki mereka juga rosak dan koyak kerana diterima tiga tahun lalu selain tidak ada kemudahan alat pemanas serta baju tebal untuk musim sejuk,” katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Syria kira-kira jam 9.40 malam, kelmarin.

Beliau bersama tiga sukarelawan lagi sebelum ini berlepas ke Syria pada 26 Disember lalu bagi melaksanakan misi bantuan kepada pelarian di sana susulan peperangan yang berlaku baru-baru ini.

Disiarkan pada: January 5, 2017 @ 9:50am
d