mutakhir

Suratan Kenneth

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Usianya baru menginjak tiga tahun namun malang bagi si kecil ini apabila dia mengalami masalah penglihatan sejak dilahirkan.

Kenneth Kelvin yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dilahirkan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur dan disahkan buta kedua-dua mata sejak lahir.

Bapanya, Staf Sarjan Kelvin Igoh, 36, berkata, Kenneth dilahirkan normal namun selepas seminggu, dia langsung tidak membuka matanya.

“Ini menyebabkan saya dan isteri, Sarjan Lonok Maron pelik, malah ketika Kenneth menangis, air matanya akan bertangkung di dalam mata.

“Saya kemudian menghantarnya ke hospital dan ketika itu doktor mengesahkan kedua-dua matanya mempunyai ketumbuhan sehingga mengakibatkannya buta,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Meraikan Kanak-Kanak Istimewa 4 Briged Mekanise di Kem Batu 10, di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, seramai 40 kanak-kanak istimewa yang terdiri daripada anak anggota tentera menerima sumbangan wang tunai dan hamper daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Manis Datuk Khairuddin Mahmud.

Kelvin berkata, anaknya itu juga sudah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada mata sebelah kiri dan akan menjalani pembedahan mata kanan, tahun ini.

“Namun, doktor memaklumkan walaupun pembedahan dilakukan, peluang untuk anak saya melihat seperti orang lain sukar dan mungkin tidak akan berlaku,” katanya.

Menurutnya, berikutan kecacatan itu, anaknya tidak dapat menjalani kehidupan normal dan ceria seperti kanak-kanak sebayanya.

“Tumbesarannya juga lambat, tidak seperti kanak-kanak lain. Sehingga kini, dia tidak lagi mampu berjalan.

“Hati ibu bapa mana yang tidak sedih, namun itu hakikat perlu kami telan. Saya hanya kasihankan dia, risaukan keadaannya untuk menghadapi masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2017 @ 9:55am
d