mutakhir

Kepala dalam baldi

Oleh Norizuan Shamsuddin

Sungai Buloh: Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan ditemui tidak sedarkan diri oleh keluarganya selepas tertonggeng di dalam baldi di bilik air di rumah mereka di Lorong Kelapa Batu 16 1/2, Sungai Plong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa terbabit ditemui abangnya berusia lima tahun sebelum menjerit memanggil ibunya.

Menurut sumber, kejadian berlaku sewaktu ibu mangsa sedang memasak dan membiarkan dua anaknya itu bermain di dapur.

“Wanita terbabit bagaimanapun mengarahkan anak sulungnya mencari adiknya itu di sekitar rumah selepas didapati mangsa hilang.

“Bagaimanapun, mangsa ditemui dalam keadaan kaki ke atas dan kepala di dalam baldi berisi air di bilik air di kediaman berkenaan,” katanya.

Kejadian turut disedari adik ipar wanita terbabit yang berada di rumah berkenaan dan dia segera mengangkat serta membawa mangsa ke ruang tamu.

Menurutnya, bapa mangsa yang berada di ruang tamu cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa selepas mendapati wajah anaknya pucat dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke klinik berdekatan.

“Pihak klinik menghantar bayi terbabit ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan difahamkan keadaan mangsa kini masih kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Susulan kejadian, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis, di sini, pada hari sama selepas disarankan pihak hospital.

“Pihak polis turut mengambil keterangan keluarga mangsa dan pihak hospital bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2017 @ 10:08am
d