mutakhir

Remisier ghaib kebas RM3 juta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Empat mangsa termasuk dua bergelar Datuk menjadi mangsa kelentong seorang remisier yang melarikan wang RM3 juta.

Difahamkan suspek yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pelaburan saham itu lesap selepas memperoleh wang mangsa.

Penasihat undang-undang yang mewakili seorang mangsa bergelar Datuk, Datuk Seri Zakwan Hafiz Ahmad Ansari berkata, seorang mangsa mengalami kerugian RM1.23 juta dan hanya menyedari ditipu selepas mendapati tiada pelaburan saham direkodkan melalui syarikat yang dilaburkan.

“Suspek berusia 51 tahun itu adalah seorang pelabur saham berdaftar dan mangsa mengenali suspek sejak 2015.

“Pada mulanya, mangsa tidak mengesyaki apa-apa berikutan tiada sebarang masalah timbul semasa berurusan dengan lelaki itu,” katanya ketika ditemui membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Bagaimanapun, mangsa mula mengesyaki ditipu selepas suspek memberi alasan tidak munasabah apabila disoal berhubung pelaburannya.

Zakwan berkata, pemeriksaan ke atas syarikat yang dilabur itu mendapati tiada sebarang transaksi pembelian saham dilakukan suspek.

Menurutnya, usaha untuk menghubungi dan menjejaki suspek gagal dan dipercayai sudah melarikan diri.

“Dua mangsa membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Dua lagi akan membuat laporan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: January 6, 2017 @ 8:35am
d