mutakhir

Stok runcit habis

Oleh Baharom Bakar

Jertih: Kira-kira 2,000 penduduk di Pulau Perhentian terputus bekalan makanan sejak tiga hari lalu selepas usaha mendapatkan bahan mentah di tanah besar gagal berikutan laut bergelora.

Selain gagal mendapatkan bekalan bahan mentah dan basah, penduduk juga berdepan masalah mendapatkan bahan itu di beberapa kedai runcit di pulau peranginan itu selepas semua stok kehabisan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar bekalan tambahan 1.8 tan metrik bahan mentah bernilai RM10,000 untuk diagihkan kepada penduduk di pulau berkenaan.

Katanya, bahan mentah seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan kopi dihantar menggunakan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jam 3.30 petang, semalam.

“Bekalan makanan berupa bahan mentah itu cukup untuk kegunaan lebih 2,000 penduduk selama tiga hari,” katanya ketika ditemui selepas bersama Skuad Sukarelawan Belia daerah Besut bergotong-royong memunggah bahan mentah ke kapal APMM di jeti perikanan Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan, semalam.

Tengku Zaihan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berkata, sebelum ini bekalan makanan untuk penduduk di pulau peranginan itu dihantar ke pengkalan hadapan, November lalu.

“Bekalan tambahan dihantar hari ini (semalam) selepas kerajaan negeri menerima laporan penduduk di pulau peranginan itu terputus bekalan makanan sejak tiga hari lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2017 @ 9:39am
d