mutakhir

Sah ada harimau belang di LPT2

Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri mengesahkan kewujudan harimau belang seperti yang tular di laman sosial berhampiran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Bukit Besi, Dungun.

Jabatan itu kini giat menjalankan operasi menjejak dan memantau bagi memastikan keselamatan haiwan itu daripada pemburu haram serta memastikannya tidak masuk ke laluan LPT2.

Pengarah PERHILITAN Terengganu Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya akan segera memasang beberapa perangkap supaya kejadian tidak diingini tidak menimpa harimau berkenaan.

“Pelbagai ancaman boleh mengancam haiwan yang dilindungi sepenuhnya itu. Selain diburu pemburu haram, turut dibimbangi ia akan menjadi mangsa sekiranya dirempuh ketika melintas LPT2.

“Kami tidak mahu kejadian menimpa harimau betina bunting mati dilanggar kenderaan pada Februari tahun lalu berulang.

“Kami bimbang kawasan harimau ditemui hanya 30 kilometer dari lokasi kemalangan membabitkan harimau betina terbabit dan ia berisiko melalui laluan sama untuk melintas,” katanya.

Mohd Hasdi berkata, pihaknya mempergiatkan usaha menangkap harimau itu secepat mungkin dan memindahkannya ke kawasan lebih selamat.

Disiarkan pada: January 7, 2017 @ 5:29am
d