mutakhir

Air mata perpisahan

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: “Sejak beberapa hari lalu, dia (Mohd Amirul Othman, 25) sering bergenang air mata apabila melihat kami. Tidak sangka dia meninggalkan kami selamanya hari ini (semalam),” kata Roslinda Abd Wahab, 40.

Roslinda adalah ibu kepada Mohd Amirul, penghidap barah saraf otak yang meninggal dunia jam 11.45 pagi semalam, di Hospital Segamat ketika dirawat akibat sesak nafas.

Untuk rekod, akibat barah itu, tubuh Mohd Amirul kecil umpama kanak-kanak berusia kira-kira enam tahun.

Menurut Roslinda, Mohd Amirul yang tidak boleh bercakap mula sesak nafas jam 9.30 pagi semalam di rumah mereka di Kampung Tebing Tinggi dekat sini.

“Kami membawa Mohd Amirul ke Hospital Segamat untuk rawatan. Tiba di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan, kami dimaklumkan keadaannya bertambah buruk dengan beberapa organ dalaman tidak berfungsi sebelum dia meninggal dunia.

“Kami reda dengan pemergiannya dan berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan serta memberi semangat kepada kami sekeluarga selama ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Segamat.

Kisah Mohd Amirul mendapat perhatian ramai apabila disiarkan Harian Metro 27 Ogos lalu. Anak sulung daripada lima beradik itu menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan sering diserang sawan serta demam.

Sementara itu, bapa Mohd Amirul, Othman Amat, 39, berkata, dia baru dua hari bekerja di syarikat keselamatan di sekitar bandar Segamat kerana sebelum itu bertugas di kawasan agak jauh dari rumah.

“Sejak beberapa minggu lalu, kesihatan Mohd Amirul merosot dengan beratnya hanya tiga kilogram berbanding 30 kilogram sebelum ini. Selain itu, bahagian belakangnya mula menggelupas dan berlubang akibat terbaring terlalu lama.

“Saya terus berhenti kerja dan mencari kerja lain yang lebih dekat dengan rumah. Mohd Amirul yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) hanya meminum susu dan air.

“Dia menerima bantuan RM600 sebulan daripada Baitulmal selain RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ia digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan makanannya,” katanya.

Menurut Othman, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebing Tinggi sebelum solat Asar, semalam.

Sebelum dilahirkan, Mohd Amirul dikatakan lemas dalam kandungan menyebabkan kerosakan pada urat saraf di bahagian otak yang turut membantutkan tumbesarannya.

Mohd Amirul juga tidak boleh bercakap dan hanya terbaring sepanjang hayatnya menyebabkan beberapa bahagian badannya melecet manakala kakinya bersilang.

Disiarkan pada: January 8, 2017 @ 5:19am
d