mutakhir

Umpan kambing

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Kambing dijadikan umpan untuk memerangkap seekor harimau belang yang dirakam gambarnya sedang berehat di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, Dungun dan menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya menggunakan kambing sebagai umpan kerana bunyi kambing akan mendorong harimau memasuki perangkap yang dipasang sejak petang kelmarin itu.

Menurutnya, anggota PERHILITAN akan menjalankan pemantauan di kawasan perangkap itu selama 24 jam setiap hari bagi memastikan ia berfungsi dengan baik selain tindakan cepat dapat diambil sekiranya harimau memasuki perangkap terbabit.

“Kami juga akan menjalankan operasi menjejaki harimau terbabit dalam tempoh seminggu. Selain memasang perangkap itu, usaha menjejak kesan baru turut dilakukan.

“Sekiranya harimau yang diburu tidak mengena perangkap dalam tempoh seminggu dan tiada kesan baru diperolehi, operasi memburu harimau itu akan dihentikan dan menganggapnya sudah berhijrah ke kawasan hutan lain,” katanya.

Mohd Hasdi berkata, pihaknya masih menyiasat punca utama harimau itu tampil di kawasan lapang yang terdedah boleh dilihat manusia kerana kebiasaannya ia sukar dilihat dari jarak itu.

“Faktor harimau itu sudah biasa dengan suasana bunyi kenderaan mungkin menjadi antara sebab ia berani tampil di kawasan lapang yang dilihat orang seperti itu,” katanya.

Gambar seekor harimau yang berehat di kawasan lapang berhampiran susur keluar LPT2 di Bukit Besi itu dirakam petugas Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum ia dilaporkan kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut.

Pada Februari tahun lalu, seeekor harimau belang betina mati selepas dilanggar sebuah kenderaan tidak jauh dari lokasi berkenaan.

Harimau betina yang sedang mengandung itu dikatakan cuba melintas lebuh raya berkenaan sebelum dirempuh kenderaan dan mati di lokasi.

Disiarkan pada: January 8, 2017 @ 5:26am
d