mutakhir

Polis Marin tahan 62 PATI di perairan Tanjung Karang

Pelabuhan Klang: Cubaan memasuki dan keluar dari negara ini melalui jalan haram gagal apabila 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan di perairan Tanjung Karang, di sini, Khamis lalu.

Dalam operasi Op Landai bermula jam 10.30 malam hingga 11.45 malam itu, semua PATI ditahan dalam sebuah bot pom pom tidak bernombor dan tiga sampan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, mereka yang ditahan membabitkan 35 lelaki dan 27 wanita.

“Semua yang ditahan berusia di antara tiga hingga 53 tahun yang cuba memasuki dan keluar dari Malaysia melalui jalan tidak diwartakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Akta Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2017 @ 5:06am
d