mutakhir

Tangguh guna B10

Oleh Farah Suhaidah Othman

Teluk Intan: Kerajaan terpaksa menangguhkan pelaksanaan penggunaan minyak Biodiesel 10 (B10) yang sepatutnya bermula Disember lalu berikutan kenaikan harga minyak sawit di pasaran dunia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, harga minyak sawit pada Januari tahun lalu hanya RM2,200 bagi satu tan metrik namun melonjak kepada RM3,200 hujung tahun lalu manakala harga minyak mentah tidak berubah sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, perubahan ketara dalam harga minyak sawit itu mengakibatkan kerajaan terpaksa menangguhkan penggunaan B10 kepada pengguna.

“Kita tidak mahu membebankan pengguna selain mahu syarikat stesen minyak membuat persiapan (untuk menjual B10),” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Ekspedisi 4X4 Biodiesel B10, di sini, semalam.

Ekspedisi membabitkan 12 kenderaan pacuan empat roda menggunakan minyak B10 itu akan melalui perjalanan sejauh 1,200 kilometer termasuk Pahang dan Kelantan dan mengambil masa tiga hari.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk M Nagarajan dan Pengerusi MPOB, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Siew Keong berkata, banyak syarikat pengeluar kenderaan meragui keberkesanan B10 kerana bimbang penggunaannya akan merosakkan enjin kenderaan dan pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus menjalankan kajian berhubung keberkesanan minyak itu.

“Kita ambil contoh di Indonesia, syarikat pengeluar kenderaan di sana turut melahirkan kebimbangan untuk menggunakan minyak Biodesel 20 (B20) namun selepas setahun dilaksanakan mereka berpuas hati.

“Saya bersama-sama Pengerusi MPOB akan ke sana minggu hadapan bagi berbincang dengan mereka, kita akan melancarkan penggunaan B10 kepada orang awam pada bila-bila masa saja,” katanya.

Siew Keong berkata, pelaksanaan B10 nanti dijangka dapat membantu meningkatkan penggunaan hasil kelapa sawit negara sebanyak 750,000 tan metrik setahun sekali gus membantu menjana pendapatan 540,000 pekebun kecil di negara ini.

“Ini akan menyebabkan hasil pengeluaran sawit negara bertambah memandangkan permintaan untuk Biodiesel B10 turut meningkat berbanding penggunaan B5 yang diperkenalkan sejak 2011.

“Kajian juga menunjukkan penggunaan B10 dapat memberi kesan jangka panjang yang bagus untuk alam sekitar termasuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida di udara serta rendah sulfur,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2017 @ 5:12am
d