mutakhir

Terima hakikat peredaran zaman!

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Pemandu teksi perlu menerima kenyataan aplikasi Uber dan GrabCar sudah diperluaskan di seluruh dunia dan menjadi keutamaan pelancong luar menggunakan perkhidmatan itu di negara ini,” kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Mohamed Nazri berkata, pemandu teksi perlu maju selangkah ke depan kerana arus kemajuan menyebabkan ramai pengguna beralih menggunakan aplikasi itu untuk bergerak ke mana-mana.

“Disebabkan inilah, Kabinet memutuskan untuk tidak mengharamkan perkhidmatan Uber dan GrabCar di negara ini bagi mempertingkatkan industri pelancongan negara.

“Mereka (pemandu teksi) harus menerima kenyataan, perkhidmatan GrabCar dan Uber semakin bercambah adalah disebabkan permintaan tinggi daripada pelanggan yang mahukan perkhidmatan itu terutama pelancong yang bimbang ditipu pemandu teksi,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Persembahan Gendang 24 Perayaan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tsun Jin, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai pertelagahan berterusan antara pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan aplikasi GrabCar dan Uber hingga melakukan mogok dan pelbagai demonstrasi yang menjejaskan sektor pelancongan negara.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil keputusan ke belakang dengan mengharamkan aplikasi itu kerana ia digunakan di seluruh dunia.

“Pemandu teksi seharusnya meletakkan pesaing mereka sebagai penanda aras untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk menarik minat pelanggan.

“Malah, tidak mustahil pemandu teksi boleh menyediakan aplikasi sama bagi memudahkan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, satu sejarah turut tercipta semalam apabila Malaysia Book of Record mengiktiraf 388 pemain gendang berusia tujuh hingga 25 tahun dalam satu persembahan gendang 24 perayaan dikelola oleh Akademi Gendang VR.

Mohamed Nazri berkata, persembahan gendang daripada 15 kumpulan dinamakan Persembahan Gendang 24 Perayaan turut mengumpulkan pelbagai kaum untuk memupuk kemuafakatan sebagai kerja berpasukan.

“Kita perlu menjadikan persembahan ini sebagai acara rasmi untuk menyatupadukan komuniti di Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2017 @ 5:16am
d