mutakhir

Memang gila!

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: “Berderau darah apabila saya melihat penunggang itu melambung akibat dirempuh sebuah kereta BMW yang dipandu laju sebelum kenderaan berkenaan melanggar empat kereta terpakai iaitu Naza Bestari, Proton Gen2, Perodua Viva dan Honda Civic milik Syarikat Kam Yun Auto Enterprise,” kata pekerja percetakan, Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Noor, 25.

Dia menyaksikan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal Yamaha 125Z yang dirempuh kereta BMW dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk di Jalan Tanah Putih-Jalan Wong Ah Jang, Kemunting, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa, Mohd Nazreen Bahari, 24, berasal dari Kampung Jawa, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Wan Mohd Firdaus berkata, ketika kejadian dia yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 3, di sini, melihat kereta BMW itu dipandu laju dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Katanya, hatinya mula tidak tenteram dan dapat merasakan sesuatu kejadian tidak diingini akan berlaku sebelum melihat kereta BMW itu merempuh mangsa dari belakang di persimpangan lampu isyarat.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas dan saya melihat mangsa terbaring atas jalan dalam keadaan berlumuran darah di kepala,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pemandu kereta BMW berusia 44 tahun berasal dari Indera Mahkota 1, di sini, dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, kerana mengalami kecederaan di kepala.

“Siasatan awal mendapati dia yang memandu menghala ke Gambang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh mangsa yang berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah,” katanya.

Beliau berkata, selepas merempuh mangsa, kereta dipandu lelaki terbabit terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam sebuah kedai kenderaan terpakai, Syarikat Kam Yun Auto Enterprise.

“Ia kemudian merempuh empat kereta terpakai iaitu Naza Bestari, Proton Gen2, Perodua Viva dan Honda Civic,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pemilik Syarikat Kam Yun Auto Enterprise masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Menurutnya, polis akan mengambil sampel darah dan air kencing pemandu terbabit untuk ujian toksikologi di Jabatan Kimia dan ketika kejadian, keadaan cuaca baik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2017 @ 5:24am
d