mutakhir

Tiga minggu sesak dek pencuri kabel

Oleh myMetro

Kapar: Tindakan tidak bertanggungjawab mencuri dengan memotong kabel lampu isyarat di laluan utama persiaran Sungai Kapar Besar sehingga menyusahkan orang ramai.

Akibatnya kesesakan lalu lintas pada waktu puncak sejak lebih tiga minggu lalu.

Keadaan itu turut membahayakan nyawa orang ramai terutama kanak-kanak yang mahu ke sekolah berhampiran.

Penduduk Goh Lay Gan, 52, berkata, walaupun setakat ini tiada kemalangan maut, namun laluan utama yang menjadi tumpuan kenderaan berat seperti lori atau treler itu membahayakan pengguna jalan raya.

Menurutnya, ada antara pemandu mementingkan diri tanpa menghiraukan kenderaan lain termasuk penunggang motosikal dan pejalan kaki yang melintas.

“Saya bimbangkan keselamatan kanak-kanak terutama yang melintas jalan ke sekolah berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan mendapati lampu isyarat itu sedang dibaiki kontraktor, namun ia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk pulih.

Pekerja pembaikan itu, Zulhilmi Al Yusoff Abidin Zulkernain, 21, berkata, akibat kehilangan kabel utama itu, kos baik pulih menjadi tinggi.

“Kami perlu mengorek tanah bagi memasang kabel baru untuk mengelakkan kecurian berulang,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2017 @ 9:39am
d