mutakhir

Bisnes dadah Bagan Sungai Besar lumpuh

Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan Bagan Sungai Besar dan kawasan berhampiran sebagai lokasi pengedaran dadah lumpuh selepas diserbu polis dalam Op Sarang pada Rabu lalu.

Dalam serbuan pertama, dua lelaki iaitu pemandu lori berusia 45 tahun dan penganggur berusia 30 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan mendapati suspek masing-masing mempunyai empat rekod lampau dalam kes penyalahgunaan dadah selain dikehendaki polis.

Beliau berkata, polis menemui tiga paket kecil plastik disyaki heroin seberat 463 gram bernilai RM8,300 dan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah morfin.

Nor Azmi berkata, dalam serbuan kedua, 19 lelaki berusia antara 21 hingga 48 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan semuanya direman dari 5 hingga 18 Januari ini.

Selain itu polis turut menahan empat lelaki warga asing iaitu tiga dari Indonesia manakala seorang dari Myanmar.

“Tiga lelaki dari Indonesia ini ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala lelaki dari Myanmar dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

“Polis menemui tiga paket plastik dadah jenis heroin seberat 30.38 gram dalam beg sandang suspek di tepi Jalan 4 Bagan Sungai Besar dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) (1952),” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2017 @ 9:55am
d