mutakhir

Petunjuk awal kes jejambat runtuh

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya mendapat petunjuk awal berhubung punca kejadian jejambat runtuh menghubungkan KL Eco City dengan pusat beli-belah Mid Valley, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terlalu awal untuk mendedahkan siasatan itu dan pihaknya menunggu laporan daripada Kementerian Sumber Manusia yang menjalankan siasatan di tapak pembinaan.

Katanya, siasatan dilaksanakan kumpulan pakar berpengalaman dibentuk sebelum ini bagi mengenal pasti punca kemalangan, sama ada disebabkan reka bentuk, kualiti kerja, kekurangan pemantauan daripada penyelia tapak atau kecuaian petugas keselamatan.

“Kumpulan pakar memang dibentuk dan saya menunggu laporan penuh. Siasatan kemalangan di tapak pembinaan dikendalikan Kementerian Sumber Manusia dan kita perlu tunggu laporan penuh daripada mereka.

“Jika kami kemukakan laporan awal mungkin tidak tepat, tetapi menerusi siasatan kumpulan pakar itu kami mendapat petunjuk namun siasatan lebih teliti perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pembukaan jalan keluar masuk di Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem, di sini, semalam.

Persimpangan baru dibina dengan kos RM30 juta dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pengguna apabila jarak dan masa perjalanan dari ibu negara dikurangkan sekitar 10 kilometer (km) atau 15 minit melalui Plaza Tol Rawang Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan.

Disiarkan pada: January 10, 2017 @ 10:16am
d