mutakhir

Kasih ibu dan setia isteri

Oleh myMetro

Chukai: “Saya dan menantu sudah kering air mata mengenangkan nasib anak lelaki saya,” kata Bidah Saamah, ibu kepada Che Mat Zubir Salleh, 51, yang menghidap penyakit kulit misteri sejak setahun lalu.

Lebih menyedihkan anak lelakinya itu turut mempunyai masalah jantung menyebabkan dia lumpuh separuh badan sejak bulan lalu.

Bidah berkata, anak lelakinya kini tidak dapat bercakap dan tidak mengenali jiran tetangga yang menziarahinya.

Menurutnya, penyakit Che Mat Zubir mula serius sejak tiga bulan lalu menyebabkan dia terlantar selama 20 hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada pertengahan November tahun lalu.

“Penyakitnya tidak juga baik menyebabkan saya meminta pihak hospital memindahkannya ke Hospital Kemaman.

“Selama 42 hari saya berada di wad hospital bersama menantu, Rohaya Zainon dan bergilir menjaganya sehinggakan wad hospital sudah jadi macam rumah sendiri,” katanya yang tinggal di rumah anaknya di Seri Bandi, dekat sini.

Menurutnya, akibat diserang penyakit kronik itu, sudah setahun anak lelakinya yang sebelum ini bertugas sebagai pemandu lori tidak bekerja.

Katanya, lebih membebankan tiga cucunya masih bersekolah dengan dua orang di Sekolah Kebangsaan Seri Bandi dan seorang lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandi.

“Sebagai ibu, walaupun dia sudah berkahwin dan beranak-pinak, saya tidak akan biarkan isterinya seorang diri menjaganya.

“Lagi pun banyak kerja rumah yang terpaksa dilakukan menantu saya dan saya pula menjaganya berterusan apabila dia mula lumpuh separuh badan.

“Hanya Allah yang tahu kesusahan yang saya hadapi bersama menantu sehingga kering air mata tangisan derita kami,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2017 @ 10:31am
d