mutakhir

Takdirku...

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Seberang Jaya: Akibat tiada sumber pendapatan, seorang ibu tunggal yang ‘tidak boleh berpisah lama dengan mesin oksigen’ kini bingung apabila terpaksa menangguhkan sesi rawatan kimoterapinya selepas didapati menghidap kanser payudara sejak dua tahun lalu.

Kodilah Zolkefli, 43, berkata, dia baru melakukan rawatan berkenaan sejak hujung Disember lalu namun sesi seterusnya pada 4 Januari lalu gagal diteruskan akibat masalah kewangan untuk membiayai caj pengangkutan dan kos rawatan.

Dia terpaksa menggunakan ambulans ke hospital kerana memerlukan bekalan dari mesin oksigen secara berterusan dan caj ambulans serta rawatan berkenaan yang memerlukan modal besar itu membuatkan dia bingung dan tertekan, selain perlu menyara kehidupan tiga anaknya berusia antara enam dan 20 tahun.

“Doktor menyarankan supaya saya hadir melakukan sesi rawatan kimoterapi bagi meneruskan kelangsungan hidup dan jika diabaikan, jangka hayat saya berada pada tahap 50/50.

“Kanser berada di tahap ketiga sewaktu menjalani pembedahan membuang payu dara sebelah kiri akibat jangkitan kuman pada dua tahun lalu namun pada awal Disember lalu, doktor Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan kanser dihidapi sudah berada di tahap empat selepas ia menular dan merebak ke paru paru.

“Akibat masalah paru-paru itu, saya terpaksa menggunakan mesin bekalan oksigen (Medical Oxygen Concentrator) atas ihsan pihak HSJ, mulai 14 Disember lalu untuk kegunaan saya sehingga pulih,” katanya ketika ditemui di Flat Taman Tun Hussein Onn di sini, kelmarin.

Kodilah berkata, caj ambulans untuk membawanya pergi dan balik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebanyak RM280 manakala kos rawatan kimoterapi sebanyak RM119 termasuk ubat-ubatan.

Dia berkata, masalah kewangan membantutkan dirinya untuk terus melakukan rawatan itu memandangkan dia tidak lagi mampu bekerja selepas menghidap penyakit berkenaan selain anak sulungnya, Mohamad Akmal Zainul Akramin, 20 masih belum mendapat pekerjaan.

“Anak kedua, Norfartini Zainul Akramin, 17, terpaksa berhenti sekolah sewaktu di tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Perdana, Kepala Batas kerana perlu menjaga saya manakala anak bongsu, Muhammad Diniy Abdul Basit, 6, pula gagal didaftar untuk memasuki prasekolah baru-baru ini.

“Kesan penyakit kanser itu menyebabkan pergerakan saya terbatas apabila tidak mampu untuk berdiri atau berjalan dalam jangka masa lama, selain mengalami keguguran rambut dan rabun mata sebelah kanan.

“Selain itu, saya mudah penat dan tidak selesa jika tidak menggunakan mesin oksigen berkenaan, sekali gus ia perlu digunakan setiap masa bagi meneruskan hidup,” katanya.

Menurutnya, individu atau badan bukan kerajaan (NGO) boleh menyumbang kepadanya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN - 0712141000037649) di atas namanya selain menghubunginya di talian 019-4973867.

Disiarkan pada: January 10, 2017 @ 10:34am
d