mutakhir

Dua kali rugi

Oleh Nazdy Harun

Hulu Terengganu: “Bencana banjir yang melanda minggu lalu mengakibatkan saya kerugian RM30,000 selepas semua barangan dalam kedai runcit ditenggelami air sedalam dua meter,” kata Nor Hidayah Mohammad, 31, dari Kampung Basung, di sini, semalam.

Menurutnya, sejak memulakan perniagaan pada 2009, sudah dua kali dia mengalami banjir yang mengakibatkan kerugian besar pada 2014 dan tahun ini.

“Selain perniagaan barangan runcit, saya menjual alat ganti motosikal dan peralatan persekolahan namun semua barangan berkenaan musnah akibat banjir.

“Fenomena air meningkat dengan cepat mengakibatkan saya sukar menyelamatkan barangan di dalam kedai selain kedalaman air yang di luar jangkaan,” katanya.

Penduduk, Mohd Azri Mamat, 33, berkata, dia mengalami kerugian RM30,000 berikutan kebun timun yang diusahakannya secara fetergasi musnah.

“Tiada apa yang diselamatkan kerana air melimpah ke kawasan kampung dengan cepat sedalam dua meter.

“Bagi mengelak kejadian sama berulang, saya memindahkan semua peralatan pertanian ke tempat penanaman lain,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka banjir kali ini seburuk itu kerana kebiasaannya air melimpah hanya pada kedalaman satu meter.

Disiarkan pada: January 10, 2017 @ 10:42am
d