mutakhir

Gudang DVD 'panas'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudi

Kajang: Judul filem lucah, antaranya Joget Atas Meja dan Cinta Di Hotel dijadikan pelaris oleh sindiket pengedaran cakera padat digital (DVD) lucah yang masih mendapat permintaan.

Itu terbukti apabila sindiket yang turut menjual DVD filem cetak rompak terus bertahan susulan serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Baru Kajang, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan, sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor itu, sebanyak 15,000 DVD lucah dan filem cetak rompak bernilai RM133,000 dirampas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub berkata, serbuan dilakukan selepas sebulan risikan terhadap rumah yang dijadikan sebagai stor menyimpan dan menghasilkan DVD cetak rompak itu.

“Kami menemui lebih 15,000 DVD cetak rompak merangkumi filem antarabangsa pelbagai genre, termasuk filem lucah bernilai RM133,000 yang disembunyikan di dalam sebuah bilik di kediaman itu.

“Hasil serbuan, kami menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 28 hingga 60 tahun untuk tindakan lanjut,” katanya.

Selain DVD cetak rompak, pihaknya turut merampas komputer riba, pemain DVD, dan buku resit bagi transaksi jualan.

Abdul Rosik berkata, sindiket cetak rompak itu mengaut keuntungan berganda apabila hanya mengeluarkan modal yang kecil dengan menjual satu unit DVD pada harga RM6.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta (AHC) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap unit DVD cetak rompak atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2017 @ 10:20am
d