mutakhir

Isteriku curang

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Seorang wanita ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai mencederakan pergelangan tangan kiri menggunakan serpihan kaca sebaik rahsianya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain diketahui suaminya, semalam.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Seberang Pekan, di sini, apabila wanita terbabit mengunci pintu dan mengurung diri dalam biliknya sebaik suaminya terbaca mesej lelaki lain dalam aplikasi Whats -App, kira-kira jam 3 pagi.

Sumber berkata, sebelum kejadian, suaminya berusia 27 tahun mengesyaki wanita terbabit berlaku curang hingga tercetus perang mulut di rumah pasangan itu.

“Ketika bertengkar, suaminya merampas telefon bimbit wanita berusia 26 tahun lalu membawa keluar dari rumah. Ketika berada diluar rumah, lelaki itu memeriksa WhatsApp dan mendapati terdapat mesej yang membuktikan wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Sebaik mengetahui perkara itu, wanita terbabit terus masuk dalam bilik tidur dan mengunci dari dalam. Wanita itu mengugut suaminya untuk membunuh diri jika tidak memulangkan telefon bimbitnya.

“Dalam pertengkaran itu, lelaki terbabit memberitahu mahu membawa isterinya ke pejabat agama untuk urusan perceraian keesokannya.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba lelaki itu terdengar bunyi kaca pecah dari dalam bilik isterinya. Akibat panik, lelaki itu bertindak menghubungi pihak polis,” katanya.

Katanya, sepasukan anggota polis tiba di lokasi kejadian dan menemui wanita terbabit terbaring di atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tangan kiri berlumuran darah.

Disiarkan pada: January 11, 2017 @ 11:16am
d