mutakhir

Teknologi kami hanya RM250 [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Mengurangkan sakit dan menjimatkan masa.

Itu kelebihan alat Immolimb yang digunakan untuk mengelakkan pesakit bergerak buatan tempatan yang dicipta juru X-ray di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Mohamad Halmi Shamsudin, 28, bersama sembilan rakan sekerjanya.

Immolimb ini akan memastikan pesakit tidak bergerak ketika prosedur angiografi iaitu pemeriksaan saluran darah, sekali gus melancarkan prosedur itu.

Sebelum ini, yang ada di pasaran hanya Immolimb yang diimport yang mana kosnya RM20,000 namun Immolimb tempatan itu hanya berharga RM250.

Menurut Mohamad Halmi, sebelum Immolimb dicipta, kakitangan yang melakukan angiografi hanya menggunakan selimut dan pengikat kepada pesakit.

“Sebelum ini, kakitangan yang melakukan angiografi hanya menggunakan selimut dan strap (pengikat)

“Bagi mengenal pasti saluran darah yang bermasalah, ubat perlu dimasukkan dan akibatnya mereka akan berasa sakit dan bergerak sebagai tindak balas,” katanya.

Menurutnya, apabila pesakit bergerak, sukar untuk mengenal pasti saluran darah.

“Jika pesakit bergerak dan saluran darah tidak dapat dikesan prosedur sama perlu dilakukan semula,” katanya.

Mohamad Halmi berkata, kos pembuatan Immolimb sangat rendah berbanding harga pasaran.

“Immolimb yang kami cipta kalis X-ray dengan kos sekitar RM250 saja. Jika di pasaran, ia mencecah RM20,000.

“Kami gunakan bahan terbuang seperti kulit, strap lembut, span dan sarung sofa dan ia disiapkan hanya dalam masa enam bulan,” katanya.

Menurutnya, Immolimb tempatan itu sudah digunakan di HCTM.

“Oleh kerana ia berkesan dan berjaya memenangi pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ia sudah digunakan di HCTM.

“Pada bulan depan, inovasi ini akan turut digunakan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan beberapa hospital swasta,” katanya.

Menurut Mohamad Halmi, pihaknya berhasrat untuk memasarkan teknologi dengan kos y rendah itu ke luar negara.

“Kami juga mempunyai perancangan untuk berkongsi teknologi baru ini di Indonesia dalam tahun ini,” katanya.

Sementara itu, penasihat projek, Dr Nik Azuan Nik Ismail berkata, inovasi itu terbukti bukan saja dapat mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit malah ia juga menjimatkan masa serta kos.

“Inovasi baru itu digunakan ketika prosedur angiografi bagi mengelakkan pesakit bergerak. Hal ini kerana, jika pesakit bergerak dan saluran darah yang bermasalah tidak dapat dikenal pasti, pengulangan prosedur perlu dilakukan.

“Ubat yang digunakan ketika menjalani prosedur itu tidak boleh dimasukkan dalam dos yang banyak kerana akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang,” katanya.

Menurutnya, Immolimb juga membantu mempercepatkan prosedur berkenaan.

“Jika tanpa Immolimb ia mungkin memakan masa sehingga tiga jam, namun dengan adanya kemudahan ini, imej X-ray akan lebih jelas dan lebih cepat dalam tempoh hanya sejam,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2017 @ 11:23am
d