mutakhir

12 projek baru

Oleh Suzaini Sulaiman

Kuala Selangor: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang membina 1,157 unit hartanah menerusi 12 projek baru yang akan dilancarkan sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, 12 projek itu terdiri daripada pelbagai kategori termasuk pembinaan rumah mampu milik, komersial dan sebagainya.

Beliau berkata, projek itu akan dibangunkan di sembilan lokasi seperti Kota Damansara, Rasa, Kota Puteri, Bernam Jaya, Antara Gapi, Selayang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Selangor Cyber Valley.

“Ini perancangan kita (pembangunan 1,157 hartanah) tahun ini (2017).

“Bagi tujuan itu kita menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM997.7 juta untuk tahun ini,” katanya ditemui ketika Persidangan Perdana PKNS di sini semalam.

Persidangan selama dua hari yang dihadiri pengurusan serta pegawai kanan PKNS itu bertujuan memperkukuhkan strategi PKNS khususnya dalam sektor hartanah bersesuaian dengan cabaran sosio ekonomi semasa selain aspek penambahbaikan.

Sementara itu Noraida berkata, PKNS turut menyasarkan pembinaan 13,484 unit rumah mampu milik menjelang 2020.

Menurutnya, sehingga kini PKNS sudah membina lebih 1,500 unit rumah mampu milik hasil sokongan kerajaan negeri dan pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai.

Disiarkan pada: January 12, 2017 @ 10:44am
d