mutakhir

Gonggok serang balik

Oleh Zulfa Mohamad

Butterworth: Walaupun kawasan sekitar Flat Pantai Bersih di sini, disembur racun serangga dua minggu lalu, ulat gonggok muncul kembali, malah jumlahnya dikatakan luar biasa terutama ketika awal pagi.

Serangga berkenaan dikatakan merayap atas jalan sekitar jam 7 pagi kerana cuaca sejuk, tetapi ‘menghilangkan’ diri ketika tengah hari.

Penduduk menyifatkan ia sesuatu yang luar biasa kerana tidak pernah melihat begitu banyak ulat gonggok sejak mendiami flat berkenaan 12 tahun lalu.

Penduduk, Md Rodzi Yahya, 50-an, berkata, walaupun banyak ulat gonggok mati selepas Skuad Khas Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyembur racun dua minggu lalu, serangga berkenaan kembali ‘menyerang’ flat berkenaan.

Katanya, ratusan ulat gonggok merayap atas jalan ketika awal pagi, tetapi berlindung di tempat sejuk ketika waktu tengah hari.

“Ulat berkenaan sensitif cuaca panas dan bersembunyi di bawah daun atau bawah kereta ketika tengah hari.

“Dua minggu lalu MPSP sudah menyembur racun, tetapi ia kembali semula dipercayai keluar dari kawasan semak berhampiran,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, Md Rodzi berkata, longkang sekitar flat menghalang serangga berkenaan memasuki rumah dan cuma beberapa ekor yang dapat masuk ke rumah di tingkat bawah.

“Kami pun tidak tahu hendak buat. Banyak ulat yang mati selepas kena racun, tetapi lagi banyak muncul seolah-olah sudah biasa (mangli) dengan racun,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertanian berkata, serangga berkenaan banyak hidup di kawasan semak yang banyak kayu reput dan ia turut berperanan dalam menggemburkan tanah.

Katanya, jumlah serangga berkenaan terlalu banyak jika habitatnya sesuai untuk pembiakan selain mampu bertelur 50 hingga 200 biji sekali dan menetas hanya dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

Pada 27 Disember lalu, akhbar ini melaporkan mengenai kemunculan ulat gonggok berbelang hitam kuning yang merayap di kaki lima dan longkang flat berkenaan.

Bagaimanapun, penduduk flat terbabit hairan dari mana ulat berkenaan muncul kerana tidak pernah melihatnya sejak mendiami kediaman itu 12 tahun lalu.

Ulat gonggok hitam berkenaan dipercayai dari spesies sama yang dikatakan ‘menyerang’ Kampung Kuala Tebengau, Alor Star, Kedah, November lalu.

Disiarkan pada: January 12, 2017 @ 10:46am
d