mutakhir

Misi tinjau keadaan

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Klang: Dua pasukan perintis akan dihantar ke Myanmar dan Bangladesh beberapa hari lagi bertujuan meninjau keadaan di negara itu sebelum misi ‘Food Flotilla For Myanmar’ mula belayar dari Pelabuhan Klang awal bulan depan.

Pasukan membabitkan lima individu itu akan ke Teknaf, Bangladesh dan Myanmar untuk melihat seterusnya mendapatkan kebenaran selain gambaran keadaan sebelum misi sebenar digerakkan.

Ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pasukan itu akan menemui Duta Besar Malaysia di Myanmar, Mohd Haniff Abd Rahman serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bangladesh.

“Kumpulan ini akan mengadakan perbincangan sebelum misi ini berlayar pada 3 Februari depan.

“Misi ini akan mengunjungi dua tempat iaitu Rakhine dan Teknaf, Bangladesh. Ketika ini kami menunggu keputusan kerajaan Myanmar, setakat ini mereka tidak menolak permintaan kita,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi pusat pengumpulan barangan misi itu di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek, di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Azeez yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berkata, misi berkenaan akan dilepaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kira-kira jam 3 petang di Pelabuhan Klang.

Menurutnya, kapal kemanusiaan Nautical Aliya yang digunakan dalam misi itu akan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 28 Januari ini.

Beliau berkata, 1,000 tan barangan membabitkan pakaian, makanan dan ubat-ubatan akan dibawa kapal itu dalam misi berkenaan.

“Misi ini mengambil masa 18 hari dan kita akan membawa 200 aktivis daripada 14 badan bukan kerajaan membabitkan lapan negara,” katanya.

Misi berkenaan dianjurkan KP1M, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta NGO dari Turki, Turkiye Diyanet Vakfi (TDV).

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya yakin kerajaan Myanmar akan memberi kebenaran kepada mereka untuk memasuki Rakhine bagi menghantar bantuan.

“Mereka (kerajaan Myanmar) ada meminta senarai terperinci daripada kita seperti jenis barangan yang dibawa termasuk ubat-ubatan dan kita sudah serahkan,” katanya.

Sementara itu, wakil TDV Taskin Bumin Ayranci berkata, pihaknya terbabit dalam program itu berikutan kerajaan kedua-dua negara mempunyai hubungan yang erat serta membantu rakyat negara itu yang kini menjadi pelarian di pelbagai negara.

Katanya, TDV turut memberi dana RM500,000 dalam misi itu untuk membeli keperluan mereka.

“NGO ini yang ditubuhkan pada 1975 banyak membantu melalui pelbagai program di seluruh dunia.

“Kita berharap program ini berjalan lancar dan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Myanmar,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2017 @ 10:56am
d